Dapat 9A pada SPM 2025, Alyssa Dezek mahu beri hadiah kepada ibu bapa

Dapat 9A pada SPM 2025, Alyssa Dezek mahu beri hadiah kepada ibu bapa

Kuala Lumpur : Meraih keputusan cemerlang 9A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Alyssa Dezek berkongsi pernah menangis kerana tertekan dengan tuntutan karier seni dan akademik.

Alyssa mengakui terpaksa berkorban dan membahagikan masa antara komitmen seni dan pelajaran, hingga belum terfikir soal ganjaran sebaik beroleh keputusan cemerlang.

“Secara jujur, saya tidak terfikir langsung soal ganjaran, sama ada daripada diri sendiri atau daripada ibu bapa.

“Mummy sebelum ini ada cakap untuk setiap A yang saya dapat, mummy hendak hadiahkan RM100. Ini bermakna saya boleh dapat RM900.

“Tetapi, setakat ini, saya belum terima ganjaran dijanjikan. Sebaliknya, saya merancang hendak berikan hadiah kepada ibu bapa atas kejayaan ini,” katanya ditemui pada majlis rumah terbuka dan meraikan kejayaan meraih keputusan cemerlang SPM di sebuah ruang acara di Wangsa Maju di sini, semalam.

Alyssa menambah, dia tidak memikirkan soal hadiah daripada orang lain atas kejayaannya itu.

“Bagi saya, ucapan tahniah yang saya terima sudah memadai dan membuatkan saya rasa dihargai.

“Baru-baru ini, Cik B sanggup datang ke rumah semata-mata menghantar jambangan bunga bagi meraikan kejayaan saya.

“Tindakannya itu cukup membuatkan saya terharu hingga mengalirkan air mata. Saya tidak sangka dia sanggup datang ke rumah membuat kejutan. Cik B sahabat yang sangat baik,” katanya lagi.

Alyssa berkata dia menolak tawaran lakonan dan hanya menerima komitmen menjayakan kempen media sosial yang tidak memerlukan masa lama di set penggambaran bagi memberi tumpuan kepada SPM.

Alyssa yang terkenal menerusi lagu Raya Gen Z mengakui terpaksa mengorbankan waktu tidur, mengurangkan penggunaan skrin dan TikTok serta tidak ‘melayan’ permainan video.

“Ketika penggambaran kempen produk, saya curi-curi masa membaca menggunakan Ipad ketika disolek,” katanya.

Allysa berkata, dia tidak menyasarkan memperoleh 9A pada SPM.

“Bagi saya, asalkan keputusan saya lebih baik daripada peperiksaan percubaan di mana saya dapat 6A.

“Ibu bapa pula tidak menekan sebab mereka tahu susah payah saya belajar dan bekerja. Tetapi, saya hendak pastikan dapat keputusan bagus dan tidak sangka rezeki dapat 9A,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangan masa depan, Alyssa mahu menggenggam segulung ijazah dan masih memilih bidang akademik sesuai. Alyssa bagaimanapun meminati perniagaan, akaun dan kewangan.

“Bagi saya, apa sekalipun yang kita nak capai, jangan tinggalkan pelajaran. Mungkin kerana saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan.

“Saya fikir pendidikan itu sangat penting untuk masa depan. Walaupun orang kata SPM hanyalah permulaan, tetapi, kita sudah bersekolah bertahun-tahun, jadi, kenapa tidak buat yang terbaik.

“Hendak jadi artis atau pempengaruh selepas itu, jadilah. Tetapi, pastikan jadi selebriti beradab dan berilmu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top