PUTRAJAYA: Walaupun masih berdepan perbicaraan kes amang seksual di mahkamah, penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, bersyukur apabila terus menerima lambakan mesej peribadi (DM) daripada peminat yang merindui kemunculannya di pentas.
Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin, 29, berkata, buat masa ini beliau lebih selesa membuat persembahan dalam majlis tertutup bagi menjaga sensitiviti semua pihak.
“Saya sendiri sebenarnya rindu untuk membuat persembahan. Sejujurnya, saya masih memenuhi undangan nyanyian bagi acara Ramadan dan sambutan Hari Raya.
“Namun dalam keadaan sekarang, saya perlu menjaga sensitiviti semua pihak. Saya sedar jika melibatkan persembahan berskala besar, ia akan mendapat liputan meluas dan menjadi bualan ramai,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Penyanyi lagu Sumpah itu berkata, beliau kini lebih berhati-hati dalam menapis setiap tawaran yang diterima demi menjaga kepentingan diri serta imej penganjur.
“Buat masa ini, saya masih membuat persembahan seperti biasa dan Alhamdulillah, penerimaan orang ramai sangat baik. Cuma saya sentiasa mengingatkan diri supaya tidak terlalu berlebihan dan kekal bersederhana.
“Bagi penampilan di televisyen pula, saya perlu menyemak semula dengan pihak stesen. Saya tidak mahu menimbulkan sebarang kesulitan teknikal kepada mereka memandangkan selama ini pihak media dan stesen televisyen banyak menyokong kerjaya saya.
“Saya tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Naim berkata, beliau kekal aktif di platform media sosial seperti Instagram dan TikTok sebagai tanda menghargai sokongan berterusan peminat.
“Saya masih aktif seperti biasa di Instagram dan TikTok. Ramai yang menghantar DM menyatakan kerinduan untuk melihat saya membuat persembahan.
“Jadi buat masa ini, jika ada jemputan ke majlis rumah terbuka atau persembahan yang bersesuaian, saya akan teruskan,” katanya.
Bagaimanapun, Naim tidak menafikan berasa terkilan apabila kumpulannya, MUAH!, pernah digugurkan daripada senarai persembahan sebuah festival muzik beberapa bulan lalu susulan kes yang sedang dihadapinya.
“Terkilan itu memang ada. Namun, Alhamdulillah semua ahli kumpulan berlapang dada dan melihatnya sebagai satu hikmah.
“Saya juga bersyukur kerana mereka mempunyai pekerjaan lain dan tidak bergantung sepenuhnya kepada persembahan. Malah, mereka turut hadir memberi sokongan kepada saya dalam prosiding hari ini,” katanya.
Terdahulu, Naim berdepan pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel di Petaling Jaya pada pukul 8.56 pagi, 19 Mei lalu.
Pada 17 Jun lalu, Naim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Mahkamah Sesyen sebelum ini menetapkan perbicaraan kes berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 2 April.
Kes tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. -UTUSAN




