Dapat Haqiem Rusli nyanyi OST drama, Jaja Ishak rasa luar biasa

Dapat Haqiem Rusli nyanyi OST drama, Jaja Ishak rasa luar biasa

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penerbit drama, Jaja Ishak menganggap perkenalan dan kerjasamanya dengan penyanyi popular, Haqiem Rusli sebagai satu jackpot apabila pelantun suara lagu Katamu Sekejap itu bersetuju untuk menyanyikan lagu tema (OST) bagi drama terbaharu terbitannya, Sepenuh Hati Rindu.

Jaja meluahkan rasa teruja dan gembira kerana tawarannya diterima baik oleh Haqiem, memandangkan syarikatnya lebih dikenali sebagai syarikat penerbitan drama dan bukannya sebuah label muzik raksasa.

“Sebenarnya saya memang peminat lagu-lagu Haqiem Rusli, cuma dulu saya tidak mampu hendak panggil dia buat persembahan (show). Apabila bincang dengan pegawai perhubungan awam saya, dia beritahu Haqiem ini artis gred A, mampukah kita hendak bayar?

“Tetapi alhamdulillah, tahun ini rezeki kita lebih sedikit. Bila tawaran itu diberikan oleh syarikat saya, saya agak terkejut dan teruja apabila Haqiem menyambut baik tawaran itu. Ia menunjukkan dia seorang yang tidak memilih label, asalkan kita berikan yang terbaik, dia sanggup bekerjasama,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Jaja turut mengakui pernah mempunyai persepsi awal terhadap Haqiem sebelum mereka saling mengenal rapat. Dia menyangkakan penyanyi itu seorang yang sombong dan sukar didekati berikutan statusnya sebagai bintang popular.

Bagaimanapun, persepsi negatif itu berubah sepenuhnya sejurus mereka pertama kali bertegur sapa dan meluangkan masa berborak di belakang tabir sewaktu menghadiri sebuah majlis.

“Biasalah kita ini ada rasa segan dan ego. Masa itu rasa tidak mahu panggil budak ini, ingat dia berlagak ke apa kan? Tapi lepas disaran rakan-rakan untuk bertegur sapa, saya pergi jumpa dia dan ajak makan sekali.

“Bila dah berborak, saya baru sedar budak ini sebenarnya tidaklah sombong seperti yang disangka. Walaupun dia artis hebat dan berstatus tinggi, dia sangat mesra dan rendah diri. Dari situ terus timbul ilham untuk bekerjasama hasilkan lagu Katamu Sekejap ini,” katanya.

Lagu Katamu Sekejap ciptaan bersama Haqiem Rusli dan Jaja Ishak dilancarkan secara rasmi di platform penstriman digital sebagai lagu tema utama drama Sepenuh Hati Rindu yang disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 bermula 27 Oktober ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top