Barisan penyanyi dikir dari negeri Cik Siti Wan Kembang meluahkan rasa terharu dan gembira apabila diberi peluang untuk menampilkan bakat mereka di hadapan penonton luar Kelantan.
Menyifatkan ia sebagai ruang bermakna untuk mengembangkan karier seni, ini merupakan peluang besar buat mereka memperluaskan pengaruh muzik dikir ke luar negeri dan mengukuhkan lagi kedudukan dalam industri hiburan.
Tiga penyanyi berbakat iaitu Adik Waniey, Fadil Turbo dan Adam ZBP mengakui bahawa mereka kini mula mendapat perhatian daripada peminat baharu selepas terlibat dalam siri Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire.
Kesemua mereka yang digelar penyanyi dikir kerana membawakan lagu-lagu dalam dialek Kelantan itu diberikan peluang membuat persembahan pada kesemua lokasi jelajah anjuran stesen Suria FM iaitu di Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan.

“Syukur ramai beri maklum balas yang baik dan tak sangka ada yang kenal kami dan ikuti kami walaupun bukan dari Kelantan serta ada yang tahu lagu kami.
“Bagi saya peluang yang diberikan ini satu platform yang sangat baik untuk perkembangan kerjaya kami,” kata Adik Waniey atau nama sebenarnya Azmahirawani Nordin, 33.
Dua lagi sahabatnya turut senada dengan bekas peserta Dangdut Star itu yang melihat peluang diberikan sebagai laluan untuk dikenali lebih ramai peminat.
“Terima kasih kepada Suria dan Yaya Empire kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada kami,” kata Fadil Turbo atau nama sebenarnya Mohd Fadil Mohd Noor.
Bagi Adam ZBP atau Mohd Zuhri Iman Zaidi, 22, dia agak gementar pada awalnya ketika mahu beraksi di pentas luar dari Kelantan, namun lega apabila mendapat sokongan di kesemua lokasi Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire.

“Sebagai bakat baharu, saya sangat hargai peluang ini dan mengintai peluang untuk memperkenalkan diri saya dalam bidang nyanyian,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Suria FM Roslinda Abd Majid juga memberitahu mereka mendapat maklum balas sangat baik daripada pendengar.
“Selain menampilkan artis popular kali ini kami bawakan kelainan dengan kehadiran persembahan penyanyi dikir ini dalam mewarnakan lagi konsert jelajah kami.
“Kesinambungannya akan dijalankan di jelajah Kota Bharu pada 11 dan 12 Oktober ini dengan Pertandingan Nyanyian Lagu Dialek Kelantan menampilkan 10 peserta.
“Kesemua mereka berpeluang merebut hadiah wang tunai tajaan Yaya Empire di mana empat akan bersaing di peringkat final,” katanya.
DJ Lin menambah jelajah di Nilai juga mencipta sejarah apabila pengurusan AEON memaklumkan lebih 10,000 pengunjung hadir di kedua-dua hari berkenaan.
Menurutnya, pihak pasar raya berkata jumlah berkenaan yang tertinggi pernah dicatatkan dalam acara yang pernah dianjurkan.
Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa mengakui gembira dengan sambutan di Nilai dan berjaya mencatat jualan produk wangian jenamanya yang mencecah enam angka.
“Kami sangat gembira dengan penyertaan bersama Suria FM dan DJ Lin khasnya dalam jelajah kali ini dan jangan lupa penutup di Kota Bharu Kelantan nanti yang turut bekerjasama sempena Hari Sukan Negara,” katanya.
Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire bakal berlangsung di lokasi terakhir di Kota Bharu menampilkan artis seperti Floor 88, Afieq Shazwan, Baggio Damasutra, Poey Stings dan Sri Budi Jati.




