Dapatkan rawatan segera jika si bulus jatuh sakit

Dapatkan rawatan segera jika si bulus jatuh sakit

asyikin.mat@hmetro.com.my

Hakikat di sebalik kecomelan si bulus, haiwan ini cukup mudah terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan.

Lebih membimbangkan, banyak penyakit tidak menunjukkan gejala yang jelas pada peringkat awal dan menjadi pembunuh senyap bagi haiwan berkenaan.

Kali ini, KuBela berkongsi lima penyakit yang menjadi pembunuh senyap kucing tertinggi pada 2025.

1. Penyakit buah pinggang kronik

Salah satu penyakit yang paling biasa dan serius dialami kucing yang sudah berusia.

Dianggarkan, lebih daripada satu pertiga kucing berumur lebih 13 tahun akan mengalami penyakit buah pinggang kronik.

Malangnya, gejala penyakit itu muncul apabila kira-kira 75 peratus fungsi buah pinggang sudah rosak.

Pada peringkat awal, kucing mungkin kelihatan sedikit tidak bermaya, lebih lesu dan kurang selera makan.

Apabila penyakit ini semakin serius, si bulus akan hilang selera makan, ulser dalam mulut, nafas berbau busuk dan muntah akibat pengumpulan toksin dalam aliran darah.

2. Hipotiroidisme

Disebabkan oleh tumor pada kelenjar tiroid yang menghasilkan hormon tiroid secara berlebihan.

Peningkatan hormon ini meningkatkan kadar metabolisme kucing, seterusnya menyebabkan beberapa gejala yang ketara.

Antara gejala biasa termasuk penurunan berat badan walaupun selera makan meningkat, peningkatan pengambilan air, kekerapan membuang air kecil, muntah dan cirit-birit serta bulu kurang terurus.

Sekiranya masalah ini tidak dirawat boleh menyebabkan penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan pengsan secara tiba-tiba.

3. Kencing manis

Kebanyakan penyakit kencing manis dialami kucing adalah jenis dua.

Ini kerana, pankreas masih menghasilkan insulin tetapi sel badan menjadi kurang sensitif terhadapnya.

Punca utama penyakit ini ialah makanan tinggi karbohidrat seperti makanan kering.

Gejala penyakit kencing manis dialami si bulus ialah peningkatan pengambilan air dan kekerapan membuang air kecil, berat badan menurun, penyusutan otot, lesu serta muntah.

4. Penyakit jantung

Penyakit jantung kucing sukar dikesan kerana sehingga 50 peratus yang mengalami masalah jantung tidak menunjukkan gejala jelas seperti bunyi jantung abnormal.

Sekiranya penyakit ini lewat dikesan, ia boleh menyebabkan kucing pengsan atau mati mengejut.

Pemeriksaan kesihatan secara berkala dan pemantauan gejala awal penting untuk mencegah risiko yang serius.

5. Barah

Kadar barah kucing semakin meningkat terutama membabitkan barah ‘limfoma gastrousus’.

Barah ini menyerang saluran pencernaan kucing, terutamanya yang berumur sembilan hingga 13 tahun.

Gejala awal barah kucing termasuk kehilangan selera makan, penurunan berat badan, muntah atau cirit-birit yang berterusan dan perubahan tingkah laku seperti lesu atau kurang aktif.

Pengesanan awal melalui pemeriksaan veterinar adalah penting untuk rawatan yang lebih berkesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top