hakimmahari@nst.com.my
Kuala Lumpur: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa kerajaan mengkaji semula larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam, selain mempertikaikan ketiadaan bukti kukuh yang menunjukkan platform berkenaan mengancam keselamatan negara.
DAPSY dalam kenyataan hari ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan supaya mengguna pakai pendekatan yang lebih pragmatik dan telus berhubung isu keselamatan siber.
Sayap pemuda DAP itu berkata, Waze sudah diguna pakai secara meluas oleh rakyat Malaysia sejak sekian lama, namun orang ramai masih belum dikemukakan dengan bukti mencukupi bahawa aplikasi itu menjejaskan keselamatan negara atau menyalahgunakan data pengguna.
“Walaupun DAPSY mengiktiraf kepentingan memperkukuh keselamatan siber, kami mempersoalkan rasional serta justifikasi pegawai yang mencadangkan larangan menyeluruh ini.
“Langkah terburu-buru seperti ini bukan sahaja tidak menenangkan orang ramai, malah berisiko menimbulkan lebih banyak persoalan serta menjejaskan kepercayaan awam,” katanya.
Sehubungan itu, DAPSY mencadangkan kerajaan mempertimbangkan langkah perlindungan secara sasaran khusus kepada penjawat awam yang mengendalikan maklumat sulit atau menjalankan tugas sensitif, termasuk anggota tentera, pegawai perisikan dan pegawai kanan keselamatan.
Menurutnya, pendekatan bersasar itu dapat menangani potensi risiko keselamatan tanpa perlu mengenakan sekatan secara menyeluruh yang tidak sewajarnya.
DAPSY turut menyelar cadangan kerajaan yang meminta penjawat awam mengalih penggunaan ke aplikasi tempatan, TuJu, sambil merujuk kepada pelbagai aduan pengguna berhubung kelemahan teknikal aplikasi berkenaan.
“Ramai pengguna yang mencuba aplikasi TuJu membangkitkan kelemahan teknikalnya, sekali gus membuktikan ia masih belum berupaya menjadi alternatif yang praktikal dan boleh diharap.
“Tindakan melarang aplikasi yang sudah stabil demi menggantikannya dengan alternatif yang mempunyai isu teknikal ketara hanya akan terus menghakis kepercayaan awam terhadap institusi kerajaan,” katanya.
DAPSY mendesak kerajaan supaya mengambil kira maklum balas masyarakat secara serius dan menilai semula arahan berkenaan sebelum kontroversi itu berlarutan.
“Belum terlambat untuk kerajaan menghalang isu ini daripada menjadi satu perkara yang memalukan,” katanya.
Katanya, keselamatan negara serta perlindungan data adalah keutamaan penting, namun sebarang keputusan yang memberi kesan kepada orang awam mestilah berlandaskan bukti dan ketelusan.
“Usaha memelihara keselamatan negara memerlukan bukti yang kukuh, ketelusan serta komitmen berterusan untuk membina kepercayaan awam,” katanya.
Semalam, kerajaan mengumumkan larangan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam atas faktor kebimbangan berhubung potensi penyalahgunaan maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna oleh rejim Israel.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu mengambil kira status Waze Mobile Ltd sebagai pengawal data yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
Kerajaan turut menggalakkan rakyat Malaysia mempertimbangkan penggunaan aplikasi tempatan, TuJu, sebagai alternatif untuk navigasi perjalanan.
Sebelum ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan aplikasi TuJu sedang menjalani proses penambahbaikan sistem yang menyebabkan fungsi navigasinya terganggu secara sementara, namun paparan kamera litar tertutup (CCTV) dan fungsi lain masih boleh diakses.
© New Straits Times Press (M) Bhd




