am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dapur restoran nasi kandar di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini, terbakar, semalam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 8.49 malam berhubung kebakaran dalam bangunan.
Katanya, susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dan BBP Jalan Hang Tuah digerakkan ke lokasi dengan kekuatan 25 anggota bersama sembilan jentera.
“Menurut Komander Operasi Azizan Albar, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, kebakaran sudah dipadamkan oleh sistem semburan air dan pekerja restoran menggunakan alat pemadam api jenis debu kering.
“Kebakaran berlaku di ruangan dapur berpunca daripada aktiviti memasak namun tiada mangsa yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya pada 10.23 malam dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




