Selepas mencatat fenomena menerusi Konsert GenKRU empat malam berturut-turut di Axiata Arena, kumpulan legenda KRU kembali dengan persembahan mega terakhir mereka, The Finale: One More Time, yang dijadualkan berlangsung pada 22 November ini.
Kali ini, lokasi baharu menjadi taruhan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dipilih bagi meraikan sekitar 12,000 peminat setia.
Penganjur acara, Icon Entertainment yang dikemudi Iman Tang, menjanjikan persembahan dengan konsep segar, susunan baharu serta sentuhan produksi yang lebih gah.
“Ramai peminat minta konsert ini dibawa ke negeri lain, tapi faktor kos tiket dan nilai produksi membataskan. Jadi, kami pilih untuk kekal di Kuala Lumpur dengan harga tiket lebih rendah, tapi kualiti persembahan tetap kami naik taraf,” kata Iman.
Iman menambah, pemilihan venue terbuka memberi peluang lebih luas untuk eksplorasi kreativiti.
“Saya sukakan suasana di Stadium Hoki Nasional. Konsert outdoor membolehkan kami cipta lebih banyak kejutan visual.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki, selepas ini kami akan cuba bawa ke venue lebih besar,” jelasnya pada sidang media di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.
Bagi Datuk Norman Abdul Halim, The Finale ibarat satu transformasi daripada GenKRU sebelumnya.
“Kalau GenKRU dulu diadakan indoor, kali ini kami bawa ke pentas outdoor dengan skala lebih besar. Kami mahu naikkan lagi standard dan berikan pengalaman luar biasa kepada semua peminat,” katanya.
Tiket Konsert KRU The Finale: One More Time mula dibuka pada Jumaat, 3 Oktober 2025, jam 2 petang, dengan harga bermula RM188 hingga RM558.





