am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap program dan inisiatif kerajaan dilaksanakan dengan pendekatan turun ke bawah bagi memastikan manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat.
Anwar berkata, kerajaan perlu memikirkan keperluan rakyat secara menyeluruh dan memastikan pelbagai kemudahan serta bantuan disediakan dapat dicapai masyarakat di peringkat akar umbi.
Katanya, perkara itu termasuk program Skim Usahawan Bangkit (SUB), Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Amanah Ikhtiar (AIM) yang perlu dilaksanakan bukan sekadar sebagai program kerajaan, sebaliknya perlu didekatkan dengan masyarakat.
“Skim Usahawan Bangkit (SUB) perlu, NADI perlu, Amanah Ikhtiar pun perlu, tapi semua ini kena turun ke bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit MADANI Permatang Pauh di Yayasan Aman, Penanti, di sini, hari ini.
Anwar berkata, pendekatan turun ke bawah itu penting supaya program kerajaan tidak sekadar wujud di atas kertas, sebaliknya dapat dirasai dan dimanfaatkan oleh rakyat.
Dalam pada itu, Anwar berkata, keperluan rakyat adalah pelbagai dan kerajaan perlu menyediakan saluran yang sesuai bagi membantu mereka menyelesaikan masalah masing-masing.
“Selagi yang tak boleh baca al-Quran pun, dia boleh cari kita (kerajaan). Tak boleh berniaga, nak beli, nak baiki motor pun, cari kita juga.
“Kemudian kita kata kita negara AI (kecerdasan buatan) teknologi maklumat (IT), macam-macam dia (rakyat) cari kita juga, yang jadinya kita buat NADI,” katanya.
Mengulas mengenai program NADI, Anwar berkata, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai satu atau dua pejabat NADI sebagai sebahagian usaha membawa kemudahan berkenaan lebih dekat kepada masyarakat.
Bagaimanapun, beliau berkata, masih ramai yang tidak mengetahui mengenai NADI, termasuk dalam kalangan anak-anak meskipun pelaksanaan dibuat sehingga ke Pulau Banggi, Sabah.
“Ramai yang tak tahu apa dia NADI. Ramai yang anak-anak tak memahami (maka perlu berbuat sesuatu untuk dimanfaatkan),” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, kejayaan sesuatu program kerajaan turut memerlukan sokongan masyarakat kerana kerajaan sahaja tidak mampu memastikan pelaksanaannya berjaya.
“Kita boleh ada program, kalau saudara tak sokong, tak jadi juga. Jadi dua-dua perlu berpakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

