Dari Buku Bestseller Ke Layar Perak, Pak Nasrullah Teruja Dr Muhaya Setuju Muncul Dalam Filem Keajaiban Air Mata Wanita

Dari Buku Bestseller Ke Layar Perak, Pak Nasrullah Teruja Dr Muhaya Setuju Muncul Dalam Filem Keajaiban Air Mata Wanita

Penulis buku dan penerbit filem Indonesia, Pak Nasrullah banyak terinspirasi dengan kata-kata positif pakar motivasi tersohor, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad.

Menurut penulis buku bestseller ‘Rahasia Magnet Rezeki’ itu, dia gembira apabila Dr Muhaya menyambut baik tawaran untuk membuat kemunculan istimewa dalam filem Keajaiban Air Mata Wanita yang bakal ditayangkan di Malaysia pada sambutan Hari Raya Haji akan datang.

Menampilkan lakonan hebat Citra Kirana, Rezky Aditya dan Natasha Rizky, filem itu sudah ditayangkan di Indonesia pada 23 Januari lalu dan meraih kutipan yang cukup memberangsangkan.

Diangkat daripada kisah benar yang turut dimuatkan dalam buku bestseller ‘Rahasia Magnet Rezeki’ karya Pak Nasrullah sendiri, karya ini membawa mesej tentang kekuatan doa, kesabaran serta harapan dalam mendepani dugaan hidup.

“Saya banyak terinspirasi dengan Dr Muhaya. Apabila filem ini dirancang untuk menembusi pasaran Malaysia, saya menjemputnya untuk membuat kemunculan istimewa. Saya gembira figura seperti Dr Muhaya menyahut baik pelawaan saya.

“Tahun lalu saya menyuarakan kepadanya hasrat nak buat filem tentang karya emosional yang sarat dengan nilai spiritual dan pengampunan. Saya berceramah, mengubati orang di merata tempat tetapi hanya beberapa orang sahaja yang mendapat mesej daripada saya.

“Sementara saya melihat filem seram di Indonesia menarik lebih 9 hingga 12 juta tontonan walaupun ia karya bersifat hiburan tetapi menakut-takutkan berbanding cerita spiritual.

“Justeru, terhasil lah Keajaiban Air Mata Wanita yang bukan sekadar hiburan tetapi gerakan untuk menyembuhkan luka batin masyarakat dan membangkitkan harapan baharu melalui kekuatan kisah nyata,” katanya.

Tidak berharap keuntungan semata-mata, Pak Nasrullah menganggap karya ini sebagai sebuah bentuk dakwah.

“Allah sudah memberi kesempatan kepada saya untuk berada di dunia ini. Sementara orang lain mungkin belum tahu jalannya.

“Saya seorang produser, saya tahu sutradara, saya tahu bagaimana untuk mendapatkan modal bagi filem ini.

“Ya, saya tahu bagaimana mencari barisan pelakon kemudian saya tak buat filem, maka saya berdosa.

“Jadi akhirnya bukan lagi perkara keuntungan semata. Kalau di Indonesia pun filem ini sudah pulang modal kemudian bakal ditayangkan di Malaysia.

“Andai di Malaysia filem ini sukses serta disokong oleh Dr Muhaya, saya lebih lagi dapat keuntungan dan akan menggunakan modal itu untuk menghasilkan filem-filem kebaikan berikutnya,” katanya.

Keajaiban Air Mata Wanita mengisahkan tentang Kiki, seorang wanita tabah yang hidupnya berubah sepenuhnya selepas kematian suaminya, Ronald. Dari kehidupan yang stabil, Kiki terjerumus ke dalam kesusahan kerana berdepan dengan tekanan kewangan, kehilangan pekerjaan selepas berhijab, serta pergolakan keluarga yang mengancam hak penjagaan terhadap anak tunggalnya, Bunga.

Di saat hidupnya dirundung kesedihan dan keputusasaan, Kiki dipertemukan dengan sahabatnya Rahma, yang memperkenalkannya kepada ilmu Magnet Rezeki, satu pendekatan spiritual yang menekankan kuasa doa dan pemikiran positif. Dengan tekad untuk bangkit semula, Kiki perlahan-lahan menyelesaikan satu demi satu masalah dalam hidupnya.

Scroll to Top