Dari e-hailing, penyampai radio penuhi impian Irsyad

Dari e-hailing, penyampai radio penuhi impian Irsyad

Najiy Jefri

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Siapa sangka, sebelum ini hanya pemandu e-hailing, kini Irsyad Tarudin melangkah setapak lebih dekat dengan impiannya apabila dipilih sebagai penyampai baharu Suria FM.

Bagi sesetengah orang, menjadi penyampai radio mungkin satu pilihan kerjaya, tetapi Irsyad, 26, berkata, ia adalah sebuah perjalanan penuh liku yang akhirnya membuahkan hasil apabila diberi peluang keemasan untuk mengendalikan segmen malam terbaharu di Suria FM iaitu Kafe Suria.

Kata anak jati Kedah itu, sebelum menyertai Suria dia yang kini bergelar pelajar Sarjana Sains dalam bidang Akuakultur di Universiti Putra Malaysia menjana pendapatan harian dengan memandu e-hailing sebagai usaha menampung perbelanjaan.

“Menjadi penyampai radio adalah impian saya sejak kecil. Setiap hari semasa berulang-alik dari sekolah di Kulim ke rumah di Sungai Petani, saya akan dengar radio dalam kereta bersama keluarga.

“Dari situlah minat saya bermula. Saya tertarik dengan cara penyampai berinteraksi dengan pendengar. Alhamdulillah, hari ini impian itu menjadi kenyataan,” katanya.

Menurut Irsyad, dia memilih Suria FM kerana menganggap ia sebagai stesen yang paling dekat di hati rakyat.

“Ke mana saja saya pergi , gerai makan, stesen minyak, dalam kereta e-hailing atau di dalam bas, saya dapati kebanyakan mendengarkan Suria FM.

Keistimewaan Suria FM di mata saya, radio ini sangat aktif dan agresif dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti luar untuk lebih dekat dengan pendengar.

“Kandungan segmen di Suria FM juga lebih bersifat interaktif serta variasi dan menawarkan nilai kepada pendengar.

“Sebagai seseorang yang suka berbual dan mendengar cerita orang, saya rasa inilah tempat paling tepat buat saya,” katanya.

Segmen Kafe Suria akan mula ke udara malam ini dan akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Segmen itu sekali gus menggantikan segmen Suria Cinta kendalian DJ Lin yang kini akan ke udara pada setiap hujung minggu.

Sementara itu, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) berharap kehadiran Irsyad sebagai penyampai baharu dapat membawa pendekatan yang lebih segar dan dekat dengan jiwa pendengar.

“Kafe Suria bukan hanya menghiburkan, malah mewujudkan suasana santai selepas penat bekerja dan membina komuniti pendengar yang aktif dan setia.

“Untuk peminat Suria Cinta pula, jangan bimbang kerana susunan lagu yang menjadi identiti malam Suria termasuk lagu-lagu jiwang dan nostalgia era 90-an akan terus diputarkan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top