Dari industri penerbangan, Kamarudin teroka pasaran lampin bayi

Dari industri penerbangan, Kamarudin teroka pasaran lampin bayi

Kuala Lumpur : Menyedari potensi besar industri bayi khususnya produk lampin mendorong Datuk Kamarudin Meranun bersama beberapa rakan mengambil keputusan tampil dengan MILKTM Baby Diapers.

Kamarudin sebelum ini cukup dikenali dengan menjadi antara watak penting dalam industri penerbangan terkemuka AirAsia.

Begitupun, selepas lebih dua dekad mengubah landskap penerbangan Kamarudin kini menumpukan perhatian kepada misi baharu yang tidak kurang besar maknanya iaitu memastikan bayi di seluruh dunia menggunakan lampin bayi yang lebih selamat, bersih dan bebas bahan kimia berbahaya.

Menurut Kamarudin, industri bayi khususnya produk lampin adalah sektor besar tetapi terlalu banyak produk menggunakan bahan kimia hingga memutuskannya tampil dengan produk lampin bayi bebas bahan kimia.

“Ramai ibu bapa tidak menyedari betapa banyak bahan kimia digunakan dalam lampin komersial dan kebanyakannya berkait rapat dengan warna dan corak yang menarik. Lagi banyak warna, lagi tinggi risiko bahan kimia.

“Atas kesedaran inilah MILKTM memilih pendekatan minimalis dengan hanya dua warna iaitu putih dan biru serta tiada sebarang corak. Kesederhanaan itu bukan sekadar rekaan, tetapi satu komitmen terhadap keselamatan kulit bayi,” katanya pada majlis pelancaran MILKTM yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club, baru-baru ini.

Hadir sama pengasas bersama Datuk Wira Shahrul Nazri Abdul Rahim, Datuk Abdul Mutalib Alias, Datuk Sri Mohammed Shazalli Ramly, pengarah baru, Muhammad Asyraf Khalid dan Ketua Pegawai Operasi Mohamed Roslan Ismail (CEO).

Selain itu selebriti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Izara Aisyah, Diana Danielle, Nabila Razali dan Tasha Shila turut hadir memeriahkan majlis.

Tambah Kamarudin, nama MILKTM sendiri membawa simbolik kepada ketulenan iaitu sesuatu yang suci, bersih, semula jadi selain melambangkan kesihatan, kebersihan dan keselamatan.

Selaras dengan falsafah itu, lampin MILKTM dicipta menggunakan teknologi tinggi dan diuji terhadap 728 potensi bahan kimia. Produk ini juga bebas klorin, pewangi, tidak menggunakan pewarna karsinogenik, selain disahkan dermatologi sebagai selamat untuk kulit sensitif.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, walaupun melalui proses uji kaji yang begitu teliti agar mendapat penghasilan yang bagus, lampin MILKTM tetap ditawarkan pada harga mampu milik.

“Visi utama saya ialah memastikan semua keluarga, bukan hanya golongan tertentu, dapat menikmati kualiti premium yang selamat.

“Saya juga mahu mendidik masyarakat bahawa pemilihan lampin bayi amat penting agar tiada masalah kesihatan di kemudian hari,” katanya.

Jenama MILKTM yang bermula secara rasminya pada 18 Januari tahun ini kini berada di pasaran di 10 negara, iaitu Malaysia, Vietnam, Kemboja, Taiwan, Singapura, India, Maldives, Oman, Rusia dan Brunei

Sambutan luar biasa ini turut membawa kepada tiga anugerah antarabangsa iaitu Baby Innovation Awards (USA) bagi kategori “Rash-Free Diaper Product of The Year 2025”, Parenthood Parents’ Choice Awards (Malaysia) bagi “Best Rash-Free Diaper 2025” dan Parents World’s Best of the Best Babies & Kids Products 2025 (Singapura) bagi “Best in Certified Clean & Safe Baby Diapers” dalam tempoh singkat, selain menerima maklum balas konsisten daripada pengguna.

MILKTM kini menjangkakan pasaran 10 juta unit lampin tidak lama lagi, selari dengan perancangan agresif untuk berkembang ke 20 negara menjelang tahun hadapan.

Sementara itu, daripada sudut strategi perniagaan pula, Kamarudin menekankan bahawa pendekatan beliau masih sama seperti ketika membina AirAsia iaitu beliau tidak mengejar keuntungan jangka pendek, tetapi mengejar skala.

Pengalaman dalam industri penerbangan turut membentuk cara Kamarudin melihat pasaran lampin. Seperti AirAsia yang menjadikan perjalanan udara lebih mampu milik, MILKTM mempunyai misi untuk mengubah industri bayi dengan memberikan produk berkualiti premium pada harga mesra pengguna.

Beliau juga menyuarakan kebimbangannya tentang kadar kesihatan kanak-kanak masa kini, termasuk peningkatan kes kanser dalam usia yang masih muda. Beliau percaya pendedahan berterusan terhadap bahan kimia harian mungkin salah satu faktor, dan tanggungjawab MILKTM adalah mendidik ibu bapa tentang kepentingan produk bebas risiko.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top