Dari Malaysia ke Brunei, Talib terus curah bakti

Dari Malaysia ke Brunei, Talib terus curah bakti

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nama Malaysia terus bersinar di pentas antarabangsa apabila jurulatih sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad kini mencurah ilmu di Brunei Darussalam, membimbing pasukan kebangsaan negara itu sejak Oktober tahun lalu.

Bagi Talib, peluang pertama melatih di luar negara ini bukan sekadar batu loncatan dalam kerjayanya, malah satu penghormatan besar kerana diberi kepercayaan untuk membawa nama Malaysia di peringkat serantau.

“Saya mula bersama Brunei sejak 20 Oktober 2023, dengan kontrak dua tahun. Tapi ia bergantung kepada prestasi, kalau memuaskan akan disambung lagi,” katanya kepada Arena Metro.

Bekas jurulatih kebangsaan itu mengakui pada awalnya berdepan cabaran menyesuaikan diri, apatah lagi dengan jumlah penduduk Brunei yang jauh lebih kecil berbanding Malaysia, namun beliau mengambil pendekatan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan pemain muda berkualiti.

“Jumlah penduduk Brunei sekitar 460,000 orang. Jadi pendekatan kami berbeza, lebih fokus pada kualiti berbanding kuantiti. Pemilihan pemain mesti teliti dan ikut peringkat umur, barulah pembangunan itu tersusun.”

Selepas hampir dua tahun bersama skuad Brunei, Talib boleh berbangga apabila pasukan bimbingannya berjaya meraih tiga pingat gangsa, termasuk dua di Piala Raja Thai serta satu di Kejohanan BIMP-EAGA bagi kategori belia.

“Kalau di Brunei, gangsa pun sudah dianggap pencapaian tinggi. Alhamdulillah, usaha kami mula menampakkan hasil.”

Menceritakan detik permulaan ke Brunei, Talib berkata keputusan untuk berhijrah dibuat selepas kontraknya bersama Malaysia tidak disambung pada penghujung 2022.

“Saya fikir ini peluang untuk cabaran baharu. Di Malaysia saya dah lapan tahun. Bila Brunei buka peluang, saya cuba dan Alhamdulillah diterima.”

Dari aspek ganjaran pula, beliau mengakui terdapat sedikit peningkatan dari segi pendapatan tetapi menjelaskan motivasi utama tetap pada semangat profesionalisme serta keinginan untuk berkongsi kepakaran.

“Soal gaji tu Alhamdulillah… tak penting untuk saya cerita. Yang penting kita jalankan tugas dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan kembali ke Malaysia atau menyambung khidmat di negara lain, Talib menjelaskan perkara itu bergantung kepada perbincangan bersama keluarga.

“Ada juga negara lain tanya. Tapi buat masa ini, saya selesa di Brunei. Bahasa mudah, budaya hampir sama.”

Beliau turut menitipkan nasihat buat bekas pemain atau jurulatih muda yang mahu mencuba nasib di luar negara agar tidak takut untuk keluar dari zon selesa.

“Ramai bekas pemain kita yang berbakat besar. Dari Liga Sepak Takraw (STL) pun kita dapat lihat ramai jurulatih yang berkualiti. Kalau ada peluang, cubalah ke luar negara. Kita tak kurang hebat.”

Dengan rekod dan komitmen yang ditunjukkan, Talib membuktikan jurulatih tempatan juga mampu mencipta impak besar jika diberi peluang, dan kejayaan di bumi Brunei kini menjadi bukti nyata keupayaan ‘anak Malaysia’ di pentas antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top