Dari Pentas XTRA XSTAR Ke Studio Rakaman… Zahra Lancar Single Debut Janjiku Padamu, Harap Jadi Lagu Galau Ramai!

Dari Pentas XTRA XSTAR Ke Studio Rakaman… Zahra Lancar Single Debut Janjiku Padamu, Harap Jadi Lagu Galau Ramai!

Selepas dinobatkan sebagai juara XTRA XSTAR 2024, Zahra kini tampil dengan single sulung berjudul Janjiku Padamu, sekali gus menandakan langkah pertamanya dalam dunia seni rakaman.

Bagi Zahra atau nama penuhnya, Nurzahra Alya Mohd Asril, 19, lagu ciptaan Amsyar Sabri dan Emeer Bakri itu begitu istimewa kerana sarat dengan emosi yang dekat di hatinya.

“Pada awalnya ada dua demo, tapi saya lebih tertarik dengan yang ini. Saya terima demo yang sudah siap sekitar awal Mac dan terus jatuh hati terutama pada bahagian korus.

“Untuk dapatkan ‘feel’, saya banyak menonton drama Korea bagi menghayati rasa sakit meninggalkan cinta yang akhirnya saya luahkan menerusi bait-bait lirik lagu ini,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman pertama memasuki studio rakaman, Zahra mengakui ia adalah momen yang tidak pernah terlintas dalam hidupnya.

“Ini pengalaman pertama saya. Alhamdulilllah, tak rasa terlalu sukar atau gementar sebab banyak belajar sepanjang proses rakaman.

“Rasa macam mimpi bila fikir sebelum ini saya hanya dengar lagu orang, sekarang lagu saya sendiri bakal dimainkan di radio dan platform digital,” jelasnya.

Mengulas harapan terhadap penerimaan single berkenaan, Zahra berharap Janjiku Padamu mampu memberi kesan mendalam kepada para pendengar.

“Saya ingin lagu ini diminati ramai, menjadi pilihan generasi kini untuk lagu ‘galau’, kalau berpeluang saya bersyukur seandainya lagu ini dipilih sebagai runut bunyi drama,” katanya lagi.

Single Janjiku Padamu merupakan ciptaan penuh komposer dan penulis lirik, Amsyar Sabri serta Emeer Bakri, dan telah pun dilancarkan pada Ogos.

Manakala, muzik video Janjiku Padamu juka boleh ditonton di saluran YouTube Alternate Records & Talents.

Pemenang program ini bukan sahaja membawa pulang gelaran juara, tetapi turut ditawarkan kontrak rakaman serta peluang eksklusif muncul di pelbagai platform XTRA dan Media Prima, termasuk temu bual khas dan liputan meluas.

Scroll to Top