Dari 'pushbike' ke drama

Dari 'pushbike' ke drama

najiy.jefri@hmetro.com.my

Bakat luar biasa dalam sukan pushbike membuka peluang besar buat Mikayla, salah seorang daripada tiga beradik yang kini melangkah ke dunia lakonan.

Mikayla baru saja dipilih sebagai pelakon utama dalam drama bersiri Budak-Budak Pushbike yang akan ditayangkan di TV1 selepas kejayaannya dalam perlumbaan ‘pushbike’ mencuri perhatian ramai.

Drama ini memberi fokus kepada kehidupan kanak-kanak dalam sukan ini, menjadikan Mikayla sebagai wajah utama yang bakal menginspirasikan ramai anak muda.

“Mikayla minat dalam dunia hiburan. Tak sangka litar sukan membuka peluang untuk dia menggapai impian. Mula-mula dia gugup juga, tapi lama-lama dia sudah biasa dan semangat,” kata bapanya, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli.

Drama bertema kesukanan itu turut menampilkan pelakon hebat lain antaranya Ashraf Muslim, Isyariana dan Syazwan Zulkifly.

Selepas Budak-Budak Pushbike, Mikayla juga menerima tawaran berlakon dalam drama Dzikir yang dijadualkan menemui penonton di Astro sempena Ramadan tahun depan.

“Ini adalah langkah besar untuk Mikayla, dari ‘pushbike’ ke lakonan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Muzri berkata, kehebatan tiga beradik ini dalam sukan ‘pushbike’ bermula sejak 2019, dengan Mikayla dan dua adiknya, Mikael dan Maleeq menemui minat mereka dalam sukan ini.

“Saya melihat Mikael mempunyai potensi terbaik ketika menyertai perlumbaan pertamanya. Tak sangka dia juga berjaya mendapat tajaan basikal Bike8, jenama terkenal dari China dan terus mengharumkan nama keluarga dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.

“Malah, Maleeq, adik bongsu juga menerima tajaan basikal daripada syarikat Rockfish yang kagum dengan kehebatannya di litar. Mereka bertiga giat berlatih dan sentiasa bersemangat,” katanya.

Menurut Wan Muzri yang juga Presiden The M8 Cycling Club, ‘pushbike’ kini bukan sekadar sukan, tetapi satu platform yang membuka pelbagai peluang menerusi pelbagai kerjasama.

“Tahun depan menyaksikan kerjasama hebat antara Team M8 Malaysia, Team ZK Racing, Minigp Malaysia dan Sepang International Circuit (SIC). Usaha ini memberi peluang besar kepada tiga beradik ini untuk meneruskan kerjaya dalam bidang permotoran apabila usia mereka dalam sukan ‘pushbike’ tamat.

“Kami masih fokus pada basikal, tapi Insya-Allah jika diberi peluang, mungkin mereka akan sambung ke bidang permotoran,” kata ayah mereka, optimis dengan masa depan anak-anaknya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top