Pempengaruh dan juga usahawan, Khairul Aming memohon izin untuk mengundurkan diri selepas sebulan memberikan pelbagai resepi-resepi bagi memeriahkan lagi Ramadan buat semua rakyat Malaysia.
Kelas Cikgu Khairul Aming sudah tamat
Menerusi hantaran yang dimuat naik di media sosial, Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin bin Kamarulzaman, 34 mengakui sebak sewaktu menyunting video-video daripada orang ramai yang mencuba resepi yang pernah dikongsikan.
Ujarnya, apa yang dilakukan masyarakat Malaysia sangat bermakna buatnya lebih-lebih lagi sewaktu bulan Ramadan ini.
“Jatuh air mata masa edit video ni. You have no idea betapa bermakna video ramadan ni untuk KA.
“Yang muda, yang tua, tak kira agama atau bangsa, semua masuk dapur untuk cuba memasak.
“Terima kasih bagi KA peluang untuk meriahkan ramadan anda semua,” ujarnya.
Izin undur diri untuk berehat
Susulan daripada itu, Khairul Aming meminta izin untuk mengundurkan diri selepas sebulan membantu memberi idea buat ramai orang menghasilkan juadah berbuka puasa.
Jelasnya, sejak tahun lepas lagi, dia belum sempat untuk berehat dan mengambil peluang hari raya ini untuk melakukan perkara tersebut.
“Izinkan cikgu undur diri dahulu, dari tahun lepas lagi belum berehat. Selamat hari raya guyss, maaf zahir dan batin,’ tulisnya.
Terima kasih cikgu!
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mengucapkan terima kasih kepada pempengaruh tersebut kerana bukan sahaja berkongsi idea juadah-juadah mudah, tetapi turut mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga dan kenalan tanpa mengira kaum mahupun agama.

Kita cipta momen yang meriah Ramadan ini

Masakan dapat menyatupadukan kita

Artikel lain: “Ini bukan resepi autentik” -Risau dikritik, Khairul Aming tegaskan bukan asal dari Itali
Semoga bertemu lagi di Ramadan tahun hadapan.
Sumber: Instagram khairulaming




