KUALA LUMPUR – Ada kalanya idea besar tidak lahir daripada makmal atau kajian rumit, sebaliknya bermula daripada kenangan kecil yang dekat dengan kehidupan seharian.
Begitulah kisah di sebalik penghasilan kerepek ubi keledek dua warna oleh CWP Food Manufacturing Sdn Bhd yang bermula daripada pengalaman Pengurus Besarnya, Yanice Cheong Ming Yan, menikmati sup ubi keledek atau tong sui sejak kecil.
Yanice berkata, pengalaman itu mencetuskan idea untuk menggabungkan ubi keledek ungu dan oren dalam satu kerepek selepas mendapati kedua-duanya mempunyai kelebihan dari segi rasa dan tekstur.
“Ubi ungu mempunyai rasa yang sangat sedap, tetapi teksturnya tidak begitu baik berbanding ubi oren. Jadi kami fikir, mengapa tidak gabungkan kedua-duanya supaya dapat rasa yang sedap dan tekstur yang rangup dalam satu kerepek,” katanya.
Idea yang kelihatan ringkas itu akhirnya membawa produk Double Triple Sweet Potato kepada pengiktirafan apabila ia diiktiraf oleh Rekod Asia dan ASEAN sebagai snek ubi keledek halal pertama yang menggabungkan dua varieti ubi berbeza warna dalam satu kerepek.
Pengiktirafan berkenaan diterima pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Khamis, sekali gus meletakkan hasil inovasi syarikat dari Ipoh itu dalam rekod ASEAN dan Asia.
Lebih penting, pengiktirafan tersebut hadir bersama pematuhan halal apabila CWP Food Manufacturing mempunyai pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain piawaian keselamatan makanan lain yang dimilikinya.
Bagi Yanice, pencapaian itu bukan sekadar soal menghasilkan sesuatu yang berbeza, tetapi membuktikan tradisi dan inovasi boleh bergerak seiring tanpa perlu meninggalkan akar asalnya.
“Walaupun kami pengeluar snek tradisional, kami tetap perlu berinovasi untuk berkembang, membuka pasaran baharu dan menarik generasi seterusnya,” katanya.
CWP yang ditubuhkan pada 2008 di Ipoh pada asalnya berkembang daripada perusahaan kecil sebelum mengorak langkah ke pasaran luar negara dengan produk makanan ringan berasaskan tradisi dan tumbuhan.
Menariknya, bahan utama untuk kerepek itu diperoleh daripada petani tempatan di sekitar Ipoh, menjadikan penghasilan produk berkenaan turut mempunyai kaitan langsung dengan komuniti setempat.
Nama ‘Double Triple’ pula mempunyai maksud tersendiri apabila ‘Double’ merujuk kepada dua warna dan dua rasa, manakala ‘Triple’ menggambarkan penggunaan tiga bahan ringkas dalam penghasilannya.
Kini, produk syarikat sudah menembusi beberapa pasaran termasuk Singapura, Hong Kong, Taiwan dan China, selain usaha memperluas pasaran ke Jepun serta Filipina.
Namun bagi Yanice, nilai paling penting bukan sekadar sejauh mana produk itu dibawa, sebaliknya keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu daripada perkara yang sudah dikenali.
“Kami mahu orang ramai menikmati pengalaman yang berbeza kerana dalam satu kerepek mereka mendapat dua rasa, iaitu bahagian oren yang savuri dan ungu yang manis,” katanya.
