Dari Youtuber ‘Fingerstyle’ Ke Penyanyi Solo, Anwar Amzah Tampil Single Sulung ‘Imaginasi’

Dari Youtuber ‘Fingerstyle’ Ke Penyanyi Solo, Anwar Amzah Tampil Single Sulung ‘Imaginasi’

Gitaris fingerstyle terkenal, Anwar Amzah, kini membuka lembaran baharu dalam kerjaya seninya dengan pelancaran single sulung berjudul ‘Imaginasi’.

Membuka langkah sebagai penyanyi solo, Anwar Amzah kini menampilkan sisi baharunya menjadi penyanyi dan pencipta rasa menerusi lirik lagu ciptaannya.

‘Imaginasi’ menampilkan gabungan unik elemen ‘fingerstyle’ yang menjadi identiti seninya, digabung dengan susunan muzik moden yang lebih dekat dengan citarasa generasi muda.

“Saya ingin berkongsi sisi lain diri saya sebagai seorang penyanyi.

“Lagu Imaginasi adalah ekspresi perasaan saya, dan saya berharap pendengar dapat merasai emosi yang ingin saya sampaikan,”ulasnya.

Anak muda kelahiran Kluang, Johor ini pastinya bukan lagi asing di kalangan peminat muzik gitar. Dengan lebih 12 tahun pengalaman sebagai YouTuber muzik yang menampilkan teknik fingerstyle, Anwar telah membina reputasi sebagai pemuzik berbakat besar yang berjaya memikat jutaan tontonan menerusi persembahan akustik yang tular.

Sejak tiga tahun lalu, Anwar berada di bawah naungan pengurusan Mask Team, dan telah menjadi pilihan ramai artis terkenal tempatan dan luar negara sebagai pengiring gitar termasuk Hael Husaini, Marsha Milan, Khai Bahar, Syamel, Ernie Zakri, dan Nabila Razali.

Malah, dia juga pernah menjalin kerjasama dengan nama-nama besar dari Indonesia seperti Datuk Rossa, Mahalini, Govinda, Keisya Levronka, Bernadya, dan Fabio Asher.

Bahkan, minat mendalam Anwar terhadap muzik bermula sejak usia lima tahun, dan kini, dia sudah bersedia untuk membawa penonton ke dalam dunia ‘Imaginasi’  yang penuh emosi dan ekspresi peribadi.

Justeru, pelancaran ‘Imaginasi’ bukan sekadar pengenalan kepada suara baharu dalam industri, tetapi juga lambang keberanian seorang pemuzik yang berani melangkah keluar daripada zon selesa untuk terus berkembang dalam dunia seni.

Scroll to Top