Daripada ubat jadi pembunuh

Daripada ubat jadi pembunuh

asyikin.mat@hmetro.com.my

BAYANGKAN hanya dua miligram serbuk putih sebesar hujung pen mata bola cukup untuk menghentikan nafas seseorang dalam beberapa minit.

Inilah realiti bahaya ‘fentanyl’ iaitu sejenis opioid sintetik yang pada asalnya digunakan dalam bidang perubatan sebagai ubat tahan sakit, tetapi disalah guna.

Pensyarah kanan (Neurosaintis Ketagihan), Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam, Dr Mohamad Halim Mohamad Shariff berkata, fentanyl menjadi racun senyap yang mula menyusup ke dalam pasaran gelap Malaysia membawa risiko kesihatan awam yang amat membimbangkan.

Menurutnya, dos kecil yang tidak disengajakan boleh menyebabkan penurunan kadar pernafasan, kehilangan kesedaran dan kematian mengejut.

“Di Amerika Syarikat, lebih 70,000 kematian akibat pengambilan dos fentanyl yang berlebihan direkodkan pada 2022.

“Keupayaan fentanyl dan analognya untuk berkembang dengan pantas menimbulkan kebimbangan serius.

“Struktur kimianya yang mudah diubah membolehkan pengeluar haram mencipta variasi baharu yang mungkin terlepas daripada pemantauan undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, kajian bedah siasat mendedahkan kepekatan fentanyl dan analognya seperti carfentanil, acetylfentanyl serta furanylfentanyl yang berbeza-beza menyukarkan pengesanan juga rawatan segera.

“Lebih membimbangkan, bahaya fentanyl semakin sukar dikawal apabila ia sering dicampurkan dengan dadah lain seperti heroin, methamphetamine dan kokain tanpa disedari pengguna.

“Fenomena ini meningkatkan risiko kematian mengejut kerana pengguna tidak sedar mereka mengambil dos berlebihan,” katanya.

Dr Mohamad Halim berkata, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini mendedahkan hasil analisis berjaya menemukan fentanyl dan juga methampehtanime di dalam air kumbahan di Lembah Subang, Selangor serta Johor.

“Penemuan ini menunjukkan kemungkinan wujudnya makmal pemprosesan dadah di kawasan berkenaan dan sekali gus membuktikan penyalahgunaan fentanyl bukan lagi isu luar negara semata-mata.

“Fentanyl bukan sekadar menyebabkan ketagihan, tetapi turut merosakkan pelbagai organ dalaman manusia,” katanya.Jelasnya, kajian terkini mendedahkan bahawa ia mampu mencetuskan kerosakan hati melalui keradangan, nekrosis sel hati serta gangguan metabolisma glukosa.

“Dalam jantung pula, fentanyl menghalang arus elektrik yang penting untuk degupan normal sekali gus meningkatkan risiko aritmia yang boleh membawa maut secara tiba-tiba.

“Kesan kepada otak juga sangat membimbangkan. Pendedahan kronik terhadap fentanyl menyebabkan kematian sel saraf di korteks serebrum, meningkatkan penghasilan bahan peradangan seperti interleukin-1 beta, tumor necrosis factor-alpha dan mengurangkan reseptor penting seperti N-methyl-D-aspartate (NMDA).

“Akibatnya, pengguna berisiko mengalami psikosis, masalah kognitif, gangguan tingkah laku dan hilang kawalan emosi,” katanya.

Menurutnya, tidak cukup dengan itu, fentanyl juga memberi kesan buruk kepada paru-paru dengan menekan aktiviti neuron inspiratori, menyebabkan kemurungan pernafasan yang boleh membawa kepada kegagalan pernafasan secara tiba-tiba.

“Malah, terdapat sindrom yang dikenali sebagai ‘wooden chest syndrome’, apabila dada menjadi kaku sehingga menyukarkan proses pernafasan normal.

“Dalam konteks Malaysia, situasi ini perlu diberi perhatian serius. Jika tidak dikawal, kita mungkin bakal berdepan gelombang kematian senyap seperti yang berlaku di Amerika Syarikat.

“Justeru, beberapa langkah perlu diambil segera untuk membendung ancaman ini. Penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuh dengan memperluas senarai analog fentanyl yang dikawal dan melengkapkan agensi penguat kuasa dengan teknologi pengesanan terkini,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, pemantauan terhadap e-dagang dan media sosial perlu diperketatkan bagi mengesan penjualan dadah secara dalam talian yang semakin sukar dikesan.

“Tidak kurang pentingnya, latihan kepada petugas kesihatan, guru, kaunselor dan pengamal undang-undang perlu diperhebatkan supaya mereka mampu mengenal pasti tanda awal penyalahgunaan dadah sintetik ini.

“Kempen kesedaran masyarakat juga perlu diperluaskan melalui pelbagai saluran iaitu media massa, sekolah, komuniti dan rumah ibadat supaya maklumat mengenai risiko fentanyl dapat sampai kepada semua lapisan masyarakat.

“Di samping itu, penubuhan sistem pemantauan epidemiologi dadah sintetik di peringkat nasional perlu dipertimbangkan bagi mengumpul data, menganalisis trend dan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Katanya lagi, ancaman fentanyl mungkin kelihatan besar, tetapi dengan kesedaran, tindakan bersepadu dan empati masyarakat, kita mampu menghalang ia daripada menular.

“Keluarga, sekolah, institusi agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media mempunyai peranan yang tidak boleh dipandang remeh.

“Ibu bapa perlu mendidik anak sejak awal mengenai bahaya dadah moden, memantau pengaruh digital mereka dan membina komunikasi terbuka.

“Kerajaan pula perlu bertindak lebih pantas daripada perkembangan pasaran gelap, melalui penyelidikan tempatan, penguatkuasaan pintar dan strategi pencegahan berasaskan komuniti.

“Pujian wajar diberikan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang terus proaktif memperkukuh usaha pencegahan dan rawatan, seiring cabaran baharu dadah sintetik seperti fentanyl,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top