Dasar BDR: Langkah strategik melangkaui pendekatan pentadbiran biasa – Ahli Akademik

Dasar BDR: Langkah strategik melangkaui pendekatan pentadbiran biasa – Ahli Akademik

Georgetown: Langkah kerajaan melaksanakan dasar Bekerja dari Rumah (BDR) bagi mendepani krisis tenaga global dilihat sebagai satu langkah strategik yang melangkaui pendekatan pentadbiran biasa.

Dua pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) dalam kenyataan bersama memaklumkan dasar itu perlu difahami sebagai sebahagian daripada penyesuaian struktur ekonomi dan sosial yang lebih luas, selaras dengan cabaran semasa di peringkat global dan serantau.

Dr Hipolitus YR Wangge dan Dr Law Chee Hong berkata, melalui analisis berteraskan data dan pemerhatian dasar semasa, pendekatan BDR Malaysia mencerminkan bentuk tadbir urus yang semakin matang, iaitu beralih daripada pendekatan kawalan ketat kepada pendekatan fleksibel yang memberi ruang kepada institusi untuk menyesuaikan pelaksanaan mengikut keperluan masing-masing.

Kedua-dua sarjana PPSK USM itu berkata, dari sudut perbandingan antarabangsa, pengalaman negara-negara maju seperti Finland dan Sweden menunjukkan bahawa pelaksanaan BDR secara berterusan mampu menyumbang kepada pengurangan kesesakan lalu lintas, peningkatan keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan serta pengukuhan fleksibiliti tenaga kerja.

“Namun demikian, keberkesanan model ini tidak bersifat universal. Faktor budaya kerja, disiplin organisasi dan struktur sosial memainkan peranan penting dalam menentukan hasil pelaksanaan dasar tersebut.

“Dalam konteks Asia, termasuk Jepun dan Korea Selatan, pelaksanaan BDR sering berhadapan dengan kekangan budaya kerja konvensional yang menekankan kehadiran fizikal dan hierarki organisasi,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Law dalam kenyataan sama berkata, perbezaan utama antara pelaksanaan semasa berbanding ketika pandemik COVID-19 terletak pada sifat dasar itu sendiri serta jika sebelum ini pelaksanaan bersifat mandatori dan menyeluruh, kini pendekatan yang diambil adalah lebih anjal dan tidak memaksa.

“Fleksibiliti itu membolehkan sektor awam dan swasta merangka mekanisme pelaksanaan yang lebih sesuai, sekali gus mengurangkan risiko terhadap produktiviti dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Hipolitus berkata, daripada perspektif makroekonomi, pengurangan penggunaan bahan api dikenal pasti sebagai pemacu utama pelaksanaan dasar ini.

“Dengan mengurangkan keperluan perjalanan harian, kerajaan berupaya mengawal perbelanjaan subsidi bahan api serta memperkukuh kedudukan fiskal negara. Langkah ini juga membuka ruang kepada penyaluran bantuan yang lebih bersasar kepada sektor dan golongan yang terkesan akibat ketidaktentuan geopolitik global,” katanya.

Secara keseluruhannya, kedua-dua ahli akademik itu berpendapat dasar BDR Malaysia mencerminkan satu anjakan ke arah model kerja hibrid yang lebih fleksibel dan responsif terhadap perubahan global.

Keupayaan merangka dasar yang berasaskan bukti, sensitif terhadap konteks tempatan serta seimbang antara keperluan ekonomi dan sosial menjadi penentu utama kejayaan pelaksanaan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top