Dasar pekerja gig Malaysia dapat perhatian di Geneva

Dasar pekerja gig Malaysia dapat perhatian di Geneva

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suara pekerja ekonomi gig Malaysia bergema di pentas antarabangsa apabila delegasi Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGig) dijemput berkongsi pengalaman di Persidangan Regulating for Decent Work (RDW) anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, Switzerland.

Pengerusi MyGig, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, Malaysia mendapat pengiktirafan antara negara pembentang utama di persidangan ini yang berlangsung pada 2 hingga 4 Julai, lanjutan usaha kerajaan untuk menggubal Rang Undang-Undang Akta Pekerja Gig 2025.

“Kertas pembentangan tersebut memperincikan cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), sebuah badan nasional yang dicadangkan khusus untuk mengkoordinasi hal berkaitan perlindungan sosial, penyelesaian pertikaian industri, pembangunan data pekerjaan gig serta memperkukuh suara pekerja gig secara sistematik.

“Pendekatan yang diketengahkan ini dianggap unik oleh para pemerhati kerana ia mencadangkan pembentukan satu rangka legislatif baharu yang khusus, bukan sekadar pindaan kecil kepada undang-undang buruh sedia ada.

“Ia mencerminkan keseriusan Malaysia dalam memacu keadilan pekerjaan untuk kumpulan pekerja tidak formal yang semakin berkembang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain Mohd Sharkar, MyGig diwakili Setiausahanya, Fairuz Jamaludin melalui pembentangan kertas kerja Strengthening Labour Institutions to Address Gig Economy Challenges: A Case Study on the Establishment of the Malaysian Gig Economy Commission (SEGiM).

Persidangan ini disertai lebih 500 peserta dari 69 negara.

Ia juga menjadi medan intelektual bagi membincangkan isu penting berkaitan keadilan sosial, perlindungan pekerja serta amalan kerja yang adil dalam landskap ekonomi global yang semakin dipacu oleh automasi, digitalisasi dan kebangkitan ekonomi gig.

Mohd Sharkar turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi kepercayaan kepada MyGig membentangkan kertas kerja utama itu.

“ILO berminat untuk mempelajari kaedah Malaysia menyelesaikan isu industri gig di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, cadangan model SEGiM menerima sambutan positif daripada ILO dan beberapa negara membangun turut berhadapan cabaran serupa dalam membina ekosistem ekonomi digital lebih adil.

Katanya, beberapa delegasi antarabangsa turut menyatakan minat untuk mengkaji pendekatan Malaysia sebagai rujukan dalam pembangunan dasar nasional mereka.

“Ini bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa, tetapi satu isyarat bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat dalam usaha memperkasa golongan pekerja gig,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top