SHAH ALAM – Kerajaan tidak boleh mengorbankan asas Dasar Pendidikan Kebangsaan semata-mata untuk memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan tertentu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kenyataan Dong Zong bertarikh 15 Mei yang mendakwa kerajaan gagal mencerminkan keadilan pendidikan terhadap pelajar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah tersasar dan tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, kerajaan mengambil pendekatan seimbang, inklusif dan bertanggungjawab dalam memastikan akses pendidikan tinggi dapat diperluaskan tanpa mengorbankan asas Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Dalam sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan bukan sekadar alat akademik semata-mata.
“Ia turut melibatkan pembinaan identiti nasional, pengukuhan perpaduan, pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kefahaman terhadap sejarah dan kenegaraan Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Zambry berkata, atas sebab itu kerajaan tidak boleh mengubah asas sistem nasional semata-mata untuk memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan tertentu.
Sebaliknya, jelas beliau, mana-mana aliran pendidikan yang mahu mendapat akses lebih luas ke institusi awam perlu menunjukkan kesediaan untuk bergerak dalam kerangka nasional negara ini.
Beliau berkata, langkah kerajaan memberi laluan kepada calon UEC memohon ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi kursus tertentu dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Cina dengan syarat mereka memperoleh kepujian dalam subjek Bahasa Melayu dan lulus subjek Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan sesuatu yang kabur, tidak adil atau kecacatan sistemik seperti didakwa Dong Zong.
“Sebaliknya, ia adalah satu pendekatan yang inklusif dan bertanggungjawab dalam menghormati kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan.
“Dalam hubungan ini, ketegasan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Sejarah sebagai asas kenegaraan tidak boleh dikompromi,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, prinsip itu mesti dilaksanakan secara konsisten dan tidak boleh berubah hanya kerana tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak.
Menurutnya, isu lebih besar ialah bagaimana negara membina titik temu nasional dalam masyarakat majmuk dan pendidikan tidak boleh terus dilihat daripada sudut tuntutan kelompok tertentu atau identiti sempit semata-mata.
Tegasnya, masa depan Malaysia memerlukan satu asas bersama yang mampu menghubungkan rakyat melalui bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemahaman terhadap sejarah negara serta semangat kenegaraan yang sama.
Zambry berkata, Dong Zong juga perlu memahami bahawa universiti awam ialah institusi nasional yang tertakluk kepada dasar negara.
“Oleh itu, kerajaan berhak menetapkan syarat tertentu demi menjaga standard pendidikan, keharmonian sistem dan kepentingan jangka panjang negara,” katanya.
Tambahnya, kerajaan kekal komited memastikan pendidikan tinggi negara terus bersifat inklusif, adil dan berkualiti, namun inklusif tidak bermaksud kerajaan perlu mengorbankan dasar asas negara.



