Datang konvoi tunggang Yamaha LC, pulang dengan Ducati

Datang konvoi tunggang Yamaha LC, pulang dengan Ducati

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Seorang penjawat awam tidak menyangka penyertaan suka-suka dalam konvoi Program Ride With Me 2.0 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V ke-57, membawa tuah buatnya.

Firdaus Syafiq Yusoff, 30, menyertai konvoi dengan menunggang Yamaha LC, namun siapa menduga nasib menyebelahinya apabila diumumkan pemenang hadiah utama bonanza cabutan bertuah dengan membawa pulang motosikal Ducati Multistrada 1200.

“Penyertaan saya dalam konvoi ini secara suka-suka sahaja dan langsung tidak menyangka malam ini (tadi) menjadi detik bermakna buat saya.

“Ketika pengacara mengumumkan enam hadiah utama cabutan bertuah, saya tidak berharap langsung tetapi sebaik nombor hadiah utama bonanza tertera di skrin gergasi adalah milik saya, terus rasa tergamam.

“Beberapa kali saya menyemak nombor dipegang di tangan dengan yang tertera di skrin sebelum rakan mengesahkan saya pemenang, dan segera ke pentas menerima replika anak kunci daripada Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Firdaus Syafiq berkata, dia teruja dan bangga apabila Tengku Muhammad Fakhry mengucapkan tahniah kepadanya, malah motosikal dimenanginya turut ditandatangani baginda.

Beliau berkata, dia akan berusaha mendapatkan lesen khas kerana sebelum ini tidak pernah memiliki dan menunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Saya anggap hadiah ini rezeki untuk anak serta isteri,” katanya.

Sebanyak 3,000 motosikal pelbagai jenis dihimpunkan dalam program dan konvoi yang turut disertai Tengku Muhammad Fakhry, bermula dari Tunjong dan berakhir di stadium.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top