Los Angeles: Penyerang Korea Selatan, Son Heung-min berkata dia ‘datang untuk menang’ selepas menyertai Los Angeles FC dengan rekod yuran perpindahan tertinggi dalam sejarah Major League Soccer (MLS) sekali gus menamatkan tempoh sedekad bersama Tottenham Hotspur.
Heung-min diperkenalkan secara rasmi di Stadium BMO milik LAFC, awal pagi tadi di mana dia disambut oleh Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass, dan pegawai bandar, diiringi sorakan serta paluan gendang daripada kumpulan penyokong 3252.
“Apa yang boleh saya katakan, impian menjadi kenyataan. LA, sebuah bandar luar biasa,” kata Heung-min kepada wartawan semasa sesi pengenalan dirinya.
Butiran kewangan perpindahan tidak didedahkan oleh kedua-dua kelab, namun The Athletic melaporkan LAFC membayar kira-kira AS$26.5 juta (RM124.2 juta) untuk mendapatkan pemain berusia 33 tahun itu.
Heung-min mendedahkan LAFC bukanlah pilihan utama pada awalnya, tetapi dia memuji usaha bersama naib presiden dan pengurus besar kelab, John Thorrington yang berjaya meyakinkan beliau untuk membuat keputusan.
“Dia benar-benar ubah fikiran saya, hati saya, dia ubah cara saya berfikir. Dia tunjukkan destinasi sepatutnya saya tuju dan sekarang saya berada di sini, dan saya sangat, sangat teruja,” kata Son, yang turut hadir menyaksikan kemenangan 2-1 LAFC ke atas Tigres UANL.
“Saya datang untuk menang, saya akan beraksi dan saya pasti akan mempersembahkan bola sepak yang menghiburkan, dan kita pasti akan raih kejayaan,” tambahnya.
Perpindahan itu dijangka memberi impak kepada komuniti Korea yang besar di Los Angeles, memandangkan stadium LAFC terletak di selatan kawasan Koreatown.
Heung-min menyertai barisan bintang antarabangsa lain yang pernah bermain untuk LAFC, termasuk Carlos Vela, Giorgio Chiellini, Olivier Giroud, serta bekas rakan sepasukannya di Tottenham, Gareth Bale dan Hugo Lloris.
Heung-min yang menyertai Tottenham dari Bayer Leverkusen pada 2015, membantu kelab utara London itu memenangi trofi pertama mereka dalam 17 tahun menerusi kemenangan 1-0 ke atas Manchester United dalam perlawanan akhir Liga Europa pada Mei lalu.
Bekas kapten Spurs itu membuat 454 penampilan untuk kelab tersebut dan menjaringkan 173 gol, termasuk memenangi Kasut Emas Liga Perdana Inggeris pada musim 2021-22.
© New Straits Times Press (M) Bhd