Pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pecah amanah RM8 juta pagi tadi.
Ia melibatkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta.
Pasangan itu, yang hadir ke mahkamah pada Khamis(5 Disember 2024), membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Faham, mengaku tidak bersalah.- Ujar Vivy yang tampil dengan pakaian serba putih, ditemani suaminya dalam sut hitam.
Vivy Yusof dan suami hadapi tuduhan pecah amanah

Menurut pertuduhan, Vivy dan Fadzarudin sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd didakwa memindahkan RM8 juta dari akaun syarikat mereka ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Lembaga Pengarah.
Kesalahan ini didakwa berlaku pada 21 Ogos 2018 di Public Bank Cawangan Bukit Damansara.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Pelaburan PNB & Khazanah bermasalah

Kontroversi ini turut mendapat perhatian apabila Kementerian Kewangan mendedahkan bahawa Khazanah dan PNB hanya menerima pulangan RM3.1 juta selepas menjual saham FashionValet kepada NXBT Partners pada 2023. Pelaburan awal kedua-dua syarikat itu pada 2018 adalah sebanyak RM47 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pihaknya sedang menyiasat transaksi mencurigakan dalam pengurusan FashionValet sejak 2018 hingga tahun lalu.
#OhmediaNasihat
Setiap pelaburan mempunyai risiko, namun amanah adalah perkara paling penting. Pastikan pengurusan kewangan dijalankan dengan telus untuk mengelakkan penyalahgunaan dana dan menjaga kepercayaan pihak berkepentingan. Jangan biarkan kepercayaan yang diberi dipersiakan!





