Datuk akan didakwa rasuah RM16 juta





Lelaki berpangkat Datuk itu turut menghadapi 160 tuduhan pengubahan wang susulan siasatan SPRM pada Ogos 2020.

GEORGE TOWN: Seorang lelaki berpangkat “Datuk” yang mempunyai kaitan politik di Pulau Pinang dijangka didakwa atas pertuduhan rasuah membabitkan RM16 juta daripada seorang pemaju bergelar “Tan Sri” esok.

Sumber berkata, Datuk itu dipercayai menerima sogokan berkenaan daripada pemaju terbabit untuk melantik syarikatnya membangunkan tanah milik sebuah koperasi.

Sumber berkata, Datuk itu juga menghadapi 160 tuduhan pengubahan wang susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos lalu.

Dia dijangka didakwa secara berasingan di Kuala Lumpur minggu depan berkaitan kes pengubahan wang itu.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam surat jemputan kepada media memaklumkan agensi antirasuah itu mendapat izin mendakwa seorang pengerusi Lembaga Pengarah sebuah koperasi hartanah di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 8.30 pagi esok.