Datuk bandar parah ditikam anak angkat

Datuk bandar parah ditikam anak angkat

Berlin: Seorang datuk bandar di Jerman parah selepas ditikam, dengan suspek utamanya ialah anak angkat perempuannya sendiri yang berusia 17 tahun.

Mangsa, Iris Stalzer, 57, yang baru dipilih sebagai Datuk Bandar Herdecke ditemukan dengan kecederaan serius di rumahnya pada Selasa.

Dalam keterangannya kepada polis, Stalzer sendiri mengesahkan bahawa anak angkat perempuannya yang melakukan serangan itu.

Mangsa kini dilaporkan stabil dan menerima rawatan di hospital.

Ironinya, siasatan mendapati remaja perempuan itu sendiri yang pada mulanya membuat laporan kepada polis mengenai kejadian berkenaan.

Dalam laporannya, dia cuba menipu dengan mendakwa ibunya cedera selepas menjadi mangsa satu kejadian rompakan.

Bagaimanapun, helahnya terbongkar apabila pasukan penyiasat menemukan “bukti kukuh” di dalam rumah yang serta-merta, menjadikan anak-anak mangsa sebagai suspek utama.

Dua bilah pisau dan beberapa helai pakaian ditemukan di lokasi kejadian dan ia dirampas untuk dijadikan bahan bukti.

Susulan itu, polis menahan remaja perempuan terbabit bersama adik lelakinya yang berusia 15 tahun yang juga anak angkat mangsa.

Kedua-dua beradik itu bagaimanapun akan diserahkan di bawah jagaan perkhidmatan belia.

Menurut pendakwa raya, Bernd Haldorn, serangan itu dipercayai berpunca daripada “isu keluarga.”

Insiden serangan itu mencetuskan kejutan dan kemarahan dalam kalangan ahli politik negara itu termasuk Canselor Friedrich Merz.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top