PETALING JAYA: “Datuk Neelofa ini adalah orang pertama bawa usaha dakwah di Kelantan.”
Demikian kata pendakwah bebas, Haris Ismail mendedahkan bahawa isterinya yang juga selebriti terkenal, Noor Neelofa berasal daripada golongan agamawan yang hebat di negeri Kelantan.
Kata Haris, dia mula mengetahui perkara tersebut selepas bapanya, Datuk Seri Mohd Ismail Norbat membuat kerja persediaan asas di sana sebelum dirinya berkahwin dengan Neelofa.
“Sebelum saya berkahwin dengan Neelofa, ayah saya sudah buat groundwork (persediaan asas) di sana dan dia ada berkenalan dengan Tok Siak di sana.
“Datuk dia, Haji Murad itu juga adalah agensi yang membawa orang pergi menunaikan haji pada ketika itu dengan menaiki kapal,” katanya menerusi sebuah sesi audio siar.
Dalam masa sama, Haris mengakui perkara itu juga menjadi salah satu kunci utama dirinya terbuka hati untuk mengahwini Neelofa selain percaya bekas pengacara MeleTop itu berasal dari keturunan yang baik-baik.
“Jadi, asal usul dia itu. Dunia glamor ini cerita dialah tetapi asasnya itu keturunan keluarganya itu daripada orang yang kuat agama. Sebab dalam mencari empat ciri-ciri sebelum kahwin itu, salah satunya adalah keturunan,” jelasnya.
Untuk info, Haris dan Neelofa telah mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas.



