Datuk pegang projek, jurutera runding harga, komisen hingga 11 peratus – SPRM

Datuk pegang projek, jurutera runding harga, komisen hingga 11 peratus – SPRM

Kuala Lumpur: Dua penjawat awam termasuk pengarah bergelar Datuk dan jurutera sebuah jabatan yang ditahan pada Isnin lalu disyaki menerima komisen enam hingga 11 peratus bagi setiap projek pembangunan dan senggaraan yang diluluskan.

Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai memonopoli sebahagian besar projek dengan hanya meluluskan kepada individu atau syarikat tertentu yang bersetuju membayar komisen ditetapkan.

Sumber memaklumkan, pengarah terbabit bukan sahaja mengawal projek di Kuala Lumpur, malah turut mempunyai pengaruh terhadap kelulusan projek di beberapa negeri lain termasuk Selangor.

“Pengarah berkenaan dipercayai meluluskan projek kepada syarikat yang mempunyai kaitan langsung dengannya.

“Jurutera terbabit pula menjadi perunding untuk membincangkan sebut harga dengan syarikat yang dipilih,” katanya.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menahan sepasang suami isteri bersama bapa salah seorang daripada mereka yang juga pemilik syarikat bergelar Datuk, selain seorang kontraktor.

Kata sumber, mereka disyaki membuat pembayaran rasuah kepada penjawat awam berkenaan bagi memperoleh projek yang ditawarkan oleh jabatan terbabit.

“Bagi tahun ini sahaja, pengarah itu dipercayai meluluskan tidak kurang 10 projek kepada syarikat terbabit.

“Mereka dilihat mengawal projek senggaraan dengan hanya meluluskan kepada syarikat yang bersetuju membayar komisen ditetapkan,” kata sumber.

Semalam, media melaporkan enam individu ditahan SPRM membabitkan dua penjawat awam termasuk pengarah bergelar Datuk dan seorang jurutera dari sebuah jabatan di ibu negara.

Mereka ditahan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit berkaitan kerja kontrak pembangunan dan senggaraan sejak tahun 2021.

Serbuan menerusi Op Kepala oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di 10 premis sekitar Lembah Klang dan Johor kelmarin turut membawa kepada rampasan dua unit kenderaan Toyota Hilux serta wang tunai kira-kira RM165,000.

Sebanyak 95 akaun perbankan turut dibekukan, membabitkan akaun milik individu dan syarikat dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM6 juta.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top