am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, hari ini dipercayai menipu lelaki dengan meminta wang RM6,000, kononnya untuk mendapatkan darjah kebesaran negeri Pahang.
Suspek berusia lingkungan 40 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari tadi, ketika hadir ke Pejabat SPRM Sabah bagi dirakam keterangan.
Menurut sumber, suspek disyaki menawarkan bantuan mendapatkan gelaran Datuk sekitar tahun 2023, sedangkan dia tidak mempunyai sebarang kuasa atau kelayakan untuk berbuat demikian.
“Suspek telah mendorong mangsa memindahkan wang kira-kira RM6,000 bagi membeli aksesori pakaian istiadat sebagai kononnya bertujuan untuk mendapatkan darjah kebesaran berkenaan,” katanya.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dijangka didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Khamis ini mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd




