Datuk Sabri nafi dakwaan Chegubard

Datuk Sabri nafi dakwaan Chegubard

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) Laksamana Madya Datuk Sabri Zali menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau oleh aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard baru-baru ini.

Dalam sidang media melalui penasihat perundangannya, Mohd Firdaus Jamaludin, berkata, segala dakwaan yang tular adalah tidak berasas, bersifat spekulatif, mencemarkan reputasi PUSPAHANAS serta peribadi anak guamnya.

Menurutnya, dakwaan itu turut mencemarkan institusi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau menegaskan, anak guamnya tidak pernah disabitkan atau didapati bersalah dalam mana-mana kes seperti didakwa.

“Pihak kami turut menyangkal kesahihan dokumen yang didakwa sulit dan tular di media sosial dan menyifatkan sebagai meragukan, tidak sah serta berpotensi dimanipulasi,”katanya kepada pemberita pada sidang media di PUSPAHANAS di sini tadi.

Sidang media itu bertujuan menjelaskan kedudukan sebenar isu melibatkan Sabri selain memperbetulkan sebarang salah faham yang timbul susulan tuduhan tersebut.

Pada May 2024 Pembela Tanah Air (PETA) menerima set dokumen termasuk kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan Sabri melakukan kesalahan korupsi malah dikenakan tindakan tukar tugasan.

Untuk rekod pada Disember lalu Chegubard mendakwa Sabri terbabit dalam kesalahan berkaitan rasuah dengan mendedahkan satu set dokumen berkenaan siasatan SPRM yang diterima oleh PETA.

Firdaus berkata, anak guamnya berhak untuk mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan fitnah serta maklumat palsu.

Menurutnya, beberapa laporan polis telah dan akan dibuat termasuk berkaitan penyebaran gambar serta kandungan di platform media sosial seperti Facebook,X,Threads dan Tik Tok.

Katanya, segala isu berkaitan hanya akan dijawab secara rasmi dan mengikut lunas undang-undang.

“Semua pihak digesa agar menghentikan penyebaran dakwaan tidak berasas yang boleh mencemar reputasi individu serta menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi keselamatan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top