Datuk Seri antara 4 individu kemuka tuntutan palsu bernilai RM360 juta ditahan SPRM

Datuk Seri antara 4 individu kemuka tuntutan palsu bernilai RM360 juta ditahan SPRM

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Empat individu termasuk seorang bergelar datuk seri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu bernilai kira-kira RM360 juta.

Sumber berkata, kesemua suspek yang berusia antara 50 dan 70-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Menurutnya, mereka yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita itu ditahan berasingan antara 4 petang hingga 6 petang tadi.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta menggunakan dana sukuk dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.30 bilion.

“Mereka dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar tahun 2016 hingga 2017,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman, pagi esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top