Daus Eli beri tempoh 24 jam pada dua individu padam hantaran berbaur fitnah

Daus Eli beri tempoh 24 jam pada dua individu padam hantaran berbaur fitnah

Kuala Lumpur: Penyanyi, Daus Eli sudah membuat laporan polis atas fitnah yang dilemparkan terhadapnya oleh dua individu di Facebook.

Daus, 37, berkata, fitnah daripada dua pemilik akaun Facebook itu menjatuhkan maruah dan reputasinya.

“Mungkin ada di antara anda yang ada menerima atau membaca hantaran palsu dari pemilik akaun Min Wei yang cuba mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya melalui media sosial.

“Tidak cukup dengan itu, pemilik akaun Ah Quan juga membuat ugutan yang saya sifatkan sebagai mengancam keselamatan saya.

“Saya dengan ini menafikan sekeras kerasnya dakwaan fitnah tersebut dan sekiranya kedua-dua ‘kaki viral’ ini ada bukti yang saya melakukan perbuatan itu, silakan.

“Saya sudah buat laporan polis dan laporan ke pihak SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) akan menyusul,” katanya.

Bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu juga meminta agar orang ramai yang mendengar fitnah daripada dua individu itu tidak akan mudah percaya dan memberi tempoh 24 jam kepada mereka untuk memadam hantaran berbaur fitnah itu.

“Nasihat saya sekiranya anda terbaca hantaran itu, abaikan dan saya anggap perkara ini sebagai dugaan dalam dunia seni.

“Sedih juga sebab zaman media sosial ni, fitnah lebih menguasai akal. Saya tidak mahu terbabit dan tidak akan terkesan dengan fitnah sebegini. Terima kasih.

“Kepada akaun Min Wei dan Ah Quan, padam hantaran menjijikkan itu dalam tempoh 24 jam.

“Selesaikan perkara ini seperti lelaki sejati, bukan main fitnah sesuka hati. Negara ini ada undang-undang bukan negara ‘cowboy’,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top