David jadi harapan baharu Juventus

David jadi harapan baharu Juventus

Rom: Juventus akhirnya mengumumkan ketibaan penyerang prolifik Kanada, Jonathan David dari Lille dengan kontrak lima tahun hingga Jun 2030, menjadi pembelian pertama kelab era pengurusan baharu di bawah Damien Comolli.

Pengumuman rasmi dibuat semalam, mengesahkan langkah serius Bianconeri dalam memperkuatkan jentera serangan selepas melalui musim hambar yang hanya menyaksikan mereka menamatkan kempen Serie A di tempat keempat.

David, 24, meninggalkan Lille selepas menjaringkan 109 gol dalam 232 penampilan sejak 2020, termasuk mencuri tumpuan di pentas Eropah musim lalu apabila meledak gol kemenangan ke atas Real Madrid dan dua lagi ketika menewaskan Atletico Madrid 3-1.

“Jonathan David kini secara rasmi pemain Juventus. Penyerang Kanada ini menandatangani kontrak sehingga 30 Jun 2030,” umum kelab dalam satu kenyataan.

Penyerang yang turut membantu Lille meraih kejuaraan Ligue 1 pada 2021 itu dikenali sebagai penjaring konsisten, menamatkan musim lalu di tempat keempat carta penjaring terbanyak, tempat kedua musim sebelumnya dan ketiga pada 2022-23.

David menjadi pemain pertama dibawa masuk oleh Comolli yang dilantik sebagai pengurus besar Juve bulan lalu, dan bakal menjadi nadi penting kepada perancangan Igor Tudor, jurulatih yang mengambil alih selepas pemecatan Thiago Motta pada Mac lalu.

David menggantikan Victor Osimhen di Lille sebelum ini dan kini Juventus pula dilapor berminat mendapatkan Osimhen yang kini milik Napoli tetapi dipinjamkan ke Galatasaray musim lalu.

Nilai pasaran semasanya dianggarkan sekitar €70 juta (RM355 juta).

Media Itali turut menyebut nama Jadon Sancho dari Manchester United sebagai sasaran baharu kelab gergasi Turin itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top