Kuala Lumpur: Impak keseluruhan pergerakan nilai ringgit terhadap daya saing perdagangan negara dijangka kekal terkawal, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata ringgit telah meningkat sebanyak 10.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2025 serta mencatatkan kenaikan antara 1.5 hingga 13.9 peratus berbanding mata wang utama dan serantau lain.
“Pada 2025, Malaysia mencatatkan pertumbuhan eksport kasar yang lebih tinggi sebanyak 6.5 peratus, berbanding 5.8 peratus pada 2024.
“Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh eksport dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang kekal kukuh,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Bobbey Suan yang bertanyakan sama ada pengukuhan nilai ringgit pada masa ini akan menjejaskan daya saing eksport negara serta langkah yang diambil bagi membantu pengeksport mengurus kesan daripada pergerakan kadar pertukaran mata wang berkenaan.
Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata pengukuhan ringgit pada masa ini turut menyaksikan nilai eksport negara terus mencatatkan perkembangan positif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




