Dayang Nurfaizah terima Anugerah Khas Borneo MeleTOP

Dayang Nurfaizah terima Anugerah Khas Borneo MeleTOP

MIRI: Penyanyi asal Sarawak, Dayang Nurfaizah, menerima Anugerah Khas Borneo MeleTOP sempena Konsert MeleTOP TVS di Miri pada Sabtu.

Anugerah khas itu disampaikan Pengerusi Stesen Penyiaran TVS, Datuk Hajjah Norhyati Ismail bagi menghargai bakat dan perjalanan seni Dayang sepanjang hampir tiga dekad bergelar penyanyi.

“Saya rasa berterima kasih dan sangat dihargai. Saya sangat bersyukur.

“Saya harap sokongan daripada anda semua tidak akan berhenti. Selagi itu saya akan cuba berikan sehabis baik untuk anda,” katanya ketika menyampaikan ucapan di atas pentas.

Lebih membangkitkan emosi apabila penyanyi, Nadeera Zaini tampil memberikan persembahan tribute kepada Dayang dengan menyanyikan dua buah lagu hitnya iaitu Erti Hidup dan Hakikat Cinta.

Konsert MeleTOP TVS merupakan sebuah acara yang menggabungkan budaya tradisional Borneo dan pop masa kini.

Turut sama menjayakan konsert yang diadakan di Stadium Bandaraya Miri itu adalah Hael Husaini, Marsha Milan, Stacy, Wani Kayrie, Mimi Fly, Floor 88, Nadeera, Noki K-Clique, dan Dolla. -UTUSAN

Scroll to Top