am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lapan premis perniagaan diarah tutup dalam operasi dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Walter Granier, Bukit Bintang di sini, semalam.
DBKL dalam kenyataan berkata, pihaknya turut mengeluarkan 13 kompaun terhadap premis yang dikesan gagal mematuhi peraturan hasil pemeriksaan yang dilakukan.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan ke atas premis makanan dan kedai runcit di sekitar lokasi berkenaan untuk memastikan tahap kebersihan, keselamatan makanan serta pematuhan undang-undang sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Antara kesalahan dikesan ialah menjalankan perniagaan tanpa lesen Datuk Bandar sebagaimana diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil 3(1), kegagalan memastikan pengendali makanan mendapatkan suntikan tifoid mengikut Undang-Undang Kecil 23(3)(b).
“Selain itu, keadaan lantai dapur yang kotor dan berdaki hitam yang melanggar Undang-Undang Kecil 25(1)(b) serta kewujudan makhluk perosak seperti lipas dan tikus di dapur serta tempat penyimpanan makanan mengikut Undang-Undang Kecil 25(1)(c),” katanya di Facebook, hari ini.
Kenyataan itu berkata, pihaknya turut mengesan penggunaan bekas polisterin sebagai pembungkus makanan yang menyalahi Undang-Undang Kecil 25(1)(e), tindakan meletakkan bahan mentah serta makanan di atas lantai kurang daripada 20 sentimeter yang melanggar Undang-Undang Kecil 33(3).
Katanya, selain itu pengendali makanan didapati tidak memakai apron dan penutup kepala seperti yang diwajibkan mengikut Undang-Undang Kecil 7(1).
“Turut dikesan ialah pengurusan kebersihan yang tidak mematuhi piawaian, termasuk aktiviti pemotongan, membasuh dan mencuci di luar kawasan premis serta kedai runcit yang menjual ayam hidup di dalam premis.
“Tindakan penutupan premis dilaksanakan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Penempatan Makanan (WPKL) 2016 serta Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya.
Kenyataan itu berkata, pihaknya akan terus melaksanakan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi peraturan kerana keutamaan DBKL adalah memastikan makanan yang dijual kepada orang ramai adalah bersih, selamat dan mematuhi piawaian kesihatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




