harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi perhatian serius masalah lif di blok D di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, dekat sini dan memastikan ia dapat diselesaikan segera.
DBKL dalam kenyataan berkata, situasi ini menyebabkan blok D tidak mempunyai lif untuk kegunaan penduduk sehingga ke hari ini.
“Kami ingin memberikan jaminan kepada penduduk isu ini diberi perhatian yang amat serius oleh DBKL dan tindakan segera bagi memastikan lif kembali beroperasi terutamanya di blok D dapat diselesaikan dengan segera.
“Ekoran kejadian lif ‘overshoot’ yang berlaku baru-baru ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) membuat pemeriksaan di tapak pada 18 Disember dan mengarahkan dua unit lif di blok D ditutup dan satu unit lif dalam pelaksanaan penggantian.
“Kontraktor melengkapkan dan menghantar permohonan bagi pemeriksaan satu unit lif di blok D kepada pihak JKKP semalam dan akan melakukan pra-pemeriksaan,” katanya.
Dalam kenyataan sama DBKL berkata, JKKP dijangka membuat pemeriksaan untuk kelulusan Permit Mesin Angkut (PMA) ke atas sebuah unit lif berkenaan dalam minggu ini selepas selesai urusan pra-pemeriksaan dan tertakluk kepada kelulusan Permit To Install (PTI).
Katanya, PA Desa Rejang berada di dalam kawasan Parlimen Setiawangsa, terdiri daripada 12 blok dengan ketinggian di antara 17 ke 19 tingkat dengan jumlah unit sebanyak 2,791.
Sebanyak 1,662 unit kediaman dijual manakala baki 1,129 unit yang disewakan oleh DBKL kepada orang awam.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, kerja penggantian dan pembaikan lif di PA Desa Rejang, dekat sini, akan dilakukan secara berperingkat, kata Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, fasa pertama meliputi penggantian 18 unit lif, manakala fasa kedua sebanyak 20 unit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




