kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap peniaga di Bazar Ramadan berdasarkan peraturan yang sudah ditetapkan dan bukan bertujuan menindas sesiapa.
Itu ditegaskan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berhubung isu tular berkaitan tindakan DBKL yang menyita barang peniaga di Bazar Ramadan sekitar Selayang.
Beliau berkata, DBKL juga sentiasa berusaha membantu peniaga kecil dengan menyediakan tapak berniaga yang sah, sistematik dan bersih.
“Kita bukan sengaja mahu menyusahkan sesiapa. Sejak awal lagi, DBKL sudah memberi peluang kepada peniaga untuk memohon lesen di 40 lokasi yang ditetapkan.
“Kami mahu membantu, tetapi peniaga juga perlu patuh kepada peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada media selepas melancarkan Bazar Ramadan dan Aidilfitri DBKL 2025 di Bazar Ramadan Tempat Letak Kereta Taman Tasik Permaisuri, di sini, hari ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Beliau berkata, tindakan itu hanya diambil terhadap peniaga yang tidak mempunyai lesen dan berniaga di lokasi yang tidak diwartakan.
Dalam pada itu, pihak DBKL turut memberi jaminan bahawa pemantauan keselamatan makanan dijalankan secara ketat, termasuk mewajibkan peniaga mendapatkan suntikan tifoid.
Setakat ini, katanya, pemantauan mendapati keadaan terkawal tanpa sebarang kes serius dilaporkan.
“Orang ramai menyokong tindakan ini kerana kita perlu berlaku adil kepada peniaga yang sudah mendapatkan lesen secara sah.
“Kita hanya mahu memastikan persekitaran perniagaan yang bersih, selamat dan mematuhi undang-undang,” katanya.
Sementara itu, DBKL dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad menganjurkan Bazar Ramadan dan Aidilfitri di 42 lokasi sekitar Kuala Lumpur, bermula 2 hingga 30 Mac 2025.
Sebagai langkah untuk membantu peniaga, DBKL menetapkan kadar sewa yang berpatutan sebanyak RM500, manakala Bank Muamalat turut menyumbang dengan menaja keperluan perniagaan seperti khemah bersaiz 8×8, dua apron dan dua topi secara percuma.
Selain itu, bagi menggalakkan transaksi tanpa tunai, Bank Muamalat memperkenalkan Terminal DuitNow QR Soundbox 3-dalam-1, yang membolehkan pembayaran dilakukan dengan lebih cepat dan mudah di bazar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




