amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Penjaja di sembilan tapak perniagaan sekitar Desa Pandan yang sebelum ini diarahkan mengosongkan premis bagi memberi laluan kepada kerja pembesaran jalan di Jalan 2/76D kini boleh menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan tidak akan meneruskan tindakan perobohan buat masa ini.
Jaminan itu dibuat selepas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif turun padang meninjau kawasan terbabit hari ini.
Johari berkata, hasil lawatan dan perbincangan itu, semua pihak bersetuju mencari jalan penyelesaian terbaik tanpa menjejaskan pendapatan penjaja dan pada masa sama memastikan pembangunan infrastruktur tetap diteruskan.
“Buat masa ini, perobohan gerai tidak akan diteruskan. Tetapi penjaja perlu akur bahawa susun atur gerai sedia ada perlu dirombak semula dan mengikut peraturan. Ada antara struktur binaan yang dibuat seolah-olah kedai lengkap dengan batu-bata bukan seperti gerai penjaja.
“DBKL akan pertimbangkan untuk mengeluarkan semula lesen perniagaan yang dibatalkan sebelum ini, tetapi penjaja perlu patuh kepada aspek kebersihan, tidak meletakkan meja dan kerusi di bahu jalan, serta memastikan kawasan kekal tersusun,” katanya.
Beliau memberi reaksi itu dalam sidang media bersama selepas Sesi Libat Urus Menteri Wilayah Persekutuan mengenai Cadangan Menaik Taraf Jambatan dan Jalan 2/76D hingga Persimpangan Jalan 4/76B di Desa Pandan, di sini yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Johari berkata, antara isu utama yang dibangkitkan ialah jambatan kecil merentasi longkang besar yang sebelum ini dibina untuk kegunaan motosikal dan pejalan kaki, namun kini turut menjadi laluan lori dan kenderaan berat sehingga mengundang risiko keselamatan.
Katanya, terdapat cadangan untuk menutup terus jambatan itu atau meletakkan penghadang khas supaya hanya basikal dan motosikal dibenarkan melaluinya, namun perkara itu masih perlu dirunding bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana struktur terbabit berada di bawah seliaan agensi itu.
Terdahulu, DBKL dalam kenyataan pada 16 Julai lalu memaklumkan sembilan tapak perniagaan di kawasan itu diarahkan mengosongkan lokasi selepas lesen dibatalkan sejak 10 Januari.
Notis pengosongan terakhir dikeluarkan pada 4 Julai manakala tindakan perobohan dijadualkan pada 15 Julai, namun terpaksa ditangguhkan selepas berlaku kekecohan membabitkan seorang lelaki yang mengamuk dengan sebilah parang.
Mengulas lanjut, Johari berkata, projek pembesaran jalan itu penting bagi menyuraikan kesesakan trafik di kawasan terbabit dan menghubungkan jalan dari Selangor ke pusat bandar.
“Desa Pandan ada lebih 40 blok rumah kos rendah. Ramai pelajar berjalan kaki ke sekolah. Jalan sedia ada sempit dan berlaku pelanggaran oleh lori-lori berat kerana tiada halangan berkesan. Malah sudah banyak kemalangan terjadi.
“Sebab itu jalan ini dilebarkan, tetapi dalam masa sama kita pertahan hak penjaja yang berniaga secara kecil-kecilan. Kita mahu pembangunan yang tidak menekan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata, cara penyelesaian isu itu adalah secara menang-menang untuk dicapai dengan hasil kerjasama semua pihak.
“Saya tak mahu salahkan mana-mana pihak. Tetapi paling penting rakyat tidak terjejas. Kawasan ini ada sekolah, masjid dan rumah kos rendah, jadi perlu pertimbangan menyeluruh.
“Antara cadangan ialah menutup jambatan kecil yang menjadi laluan kenderaan berat, namun ia masih perlu dibincang dengan pihak teknikal dan JPS kerana struktur itu bukan milik DBKL,” katanya.
Sementara itu, Maimunah memberi jaminan akan mengadakan mesyuarat susulan bersama semua agensi dan kerajaan negeri Selangor bagi memperhalusi pelaksanaan keputusan berkenaan.
“Saya sudah beberapa kali turun sendiri ke kawasan ini dan hari ini kita capai keputusan bersama. Kita akan laksanakan tindakan mengikut pendekatan terbaik untuk semua pihak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd