khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan enam notis kompaun terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran atau ulat foto di kawasan tumpuan awam sekitar Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC) semalam.
DBKL menerusi satu kenyataan berkata, lima daripada jurufoto yang ditahan bukan warganegara dengan pihaknya melakukan 11 sitaan pelbagai peralatan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
Katanya, tindakan itu dilakukan melalui Op Lens dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN).
“Operasi bersepadu DBKL, PDRM dan JPN siri kali ini bagi mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas kegiatan penyediaan perkhidmatan fotografi atau ulat foto tanpa kebenaran yang dijalankan secara terbuka di tempat awam.
“Menerusi operasi bersepadu kali ini, DBKL mengeluarkan sejumlah enam notis kompaun terhadap individu yang didapati menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran serta membuat 11 sitaan pelbagai peralatan jurufoto membabitkan lima daripadanya bukan warganegara menerusi kesalahan dibawah UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya hari ini.
Harian Metro sebelum itu mendedahkan kegiatan jurugambar tidak berlesen atau ulat foto sekitar jalan KLCC masih lagi berleluasa.
Mengulas lanjut, DBKL memaklumkan pihaknya akan terus memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan kekal selamat.
“Ia bagi mengekang aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah turut menimbulkan risiko keselamatan, kacau ganggu kepada pengunjung termasuk halangan dan kelancaran lalu lintas,” katanya.
Menurutnya, pelbagai peralatan berkaitan aktiviti jurufoto yang disita itu dipindahkan ke stor sitaan DBKL untuk tindakan rekod dan dokumentasi lanjut.
Katanya, sebarang aduan atau maklum balas daripada orang awam boleh disalurkan melalui pautan saluran rasmi DBKL di https://adukl.dbkl.gov.my/.
© New Straits Times Press (M) Bhd




