DBKL laksanakan pemutihan penjaja

DBKL laksanakan pemutihan penjaja

fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan Pemutihan Penjaja 2025 sebagai usaha memperkemaskan pengurusan sektor penjajaan di ibu kota serta membuka ruang kepada penjaja tempatan untuk menjalankan perniagaan secara sah dan teratur.

Inisiatif ini selaras dengan arahan yang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa,

Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif berkenaan merangkumi dua kategori utama merangkumi penjaja beredar tanpa kenderaan dan penjaja sementara.

Jelas jabatan itu, penjaja beredar tanpa kenderaan merujuk kepada individu yang menjalankan aktiviti jualan secara bergerak dari satu tempat ke tempat lain tanpa menggunakan kenderaan.

“Lesen yang ditawarkan kepada mereka adalah sama ada melalui program semasa atau tanpa program dengan aktiviti yang dibenarkan termasuk penjualan makanan dan minuman yang berbungkus, penjualan bunga jalanan serta penjualan permainan kanak-kanak,” katanya.

Untuk penjaja sementara, jabatan itu menjelaskan ia meliputi individu yang menjalankan perniagaan secara statik di gerai atau petak tepi jalan mengikut waktu operasi ditetapkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Ia yang mana aktiviti yang dibenarkan terhad kepada penjualan makanan dan minuman secara berbungkus (take away) sahaja, dan lesen yang disediakan adalah dalam bentuk Lesen Waktu Terhad atau Lesen Gerai Tepi Jalan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, permohonan bagi mendapatkan lesen penjajaan akan dibuka selama sebulan bermula 1 Jun depan, kecuali bagi lesen penjaja beredar tanpa kenderaan melalui program semasa yang tertakluk kepada kelulusan dalam tempoh ditetapkan.

Kemudian, semua permohonan yang dikemukakan akan dinilai dan disaring mengikut syarat ditetapkan oleh DBKL, manakala maklumat lanjut berkaitan syarat kelayakan serta kaedah permohonan akan diumumkan secara terperinci melalui portal rasmi dan saluran media sosial rasmi DBKL.

“Keputusan permohonan akan dimaklumkan kepada pemohon yang berjaya pada bulan Ogos 2025. DBKL ingin menegaskan bahawa semua urusan permohonan hendaklah dibuat secara langsung kepada pihak DBKL kerana DBKL tidak melantik mana-mana individu, wakil atau pihak ketiga untuk menguruskan permohonan ini, sekali gus mengelakkan sebarang unsur penipuan atau penyebaran maklumat yang tidak sahih.

“DBKL yakin bahawa pelaksanaan inisiatif Pemutihan Penjaja 2025 akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat, sekali gus meningkatkan daya saing dan profesionalisme serta menyumbang kepada persekitaran ekonomi yang lebih mampan, tersusun dan inklusif di Kuala Lumpur,” kata jabatan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top