DBKL roboh struktur tambahan 10 premis kerana menutup longkang, laluan awam

DBKL roboh struktur tambahan 10 premis kerana menutup longkang, laluan awam

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan struktur tambahan hingga menutup longkang dan laluan awam membabitkan 10 premis di Segambut, semalam.

DBKL berkata, pihaknya melaksanakan operasi bersepadu meroboh struktur haram di rizab jalan awam dan sitaan barangan perniagaan yang diletakkan di tempat awam di sekitar Segambut.

Menurutnya, jabatan dalaman DBKL yang terbabit dalam operasi itu ialah Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Pengangkutan Bandar, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar serta Pejabat Cawangan Segambut.

“Manakala agensi sahabat yang turut terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Syarikat Bekalan Air Selangor, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Alam Flora.

“Hasil daripada operasi yang dijalankan, 10 unit premis yang membina struktur tambahan hingga menutup longkang dan laluan awam dirobohkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Katanya, dua lagi pemilik premis berjanji untuk membuka sendiri struktur sambungan serta membersihkan semua halangan di tempat awam.

“Selain itu, sebanyak tujuh kes sitaan serta-merta dilaksanakan atas kesalahan meletakkan barangan perniagaan di tempat awam mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta satu notis kompaun di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

“Sementara itu, satu unit rumah yang diubahsuai tidak selaras dengan pelan yang diluluskan oleh DBKL dan dibina di atas rizab jalan awam, juga dirobohkan,” katanya.

Menurut DBKL sisa struktur yang dirobohkan kemudian dilupuskan oleh DBKL selepas operasi tamat.

“Kesemua barangan yang disita pula dibawa ke Stor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi.

“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top