DBKL selesai ambil tindakan teguran Yang di-Pertuan Agong

DBKL selesai ambil tindakan teguran Yang di-Pertuan Agong

am@hmetro.com.my

Kuala Lmpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengambil tindakan segera berhubung isu kebersihan Jalan Gallagher, termasuk masalah sampah sarap, saliran tersumbat serta gangguan monyet liar.

Ia susulan teguran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semalam.

DBKL menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab, pihaknya sudah mengambil tindakan segera dan menyeluruh bagi menangani perkara itu dengan kerjasama agensi berkaitan.

Katanya, pihaknya mengarahkan SWCorp dan Alam Flora untuk segera mempertingkatkan tahap serta kekerapan kerja-kerja pembersihan di kawasan itu.

“Lokasi kutipan sampah sementara yang dikenal pasti sebagai punca utama kekotoran dan menarik kehadiran monyet juga sudah diarahkan untuk ditutup.

“Tindakan pembersihan secara serta-merta dijalankan oleh SWCorp dan Alam Flora membabitkan pencucian longkang, pemotongan rumput dan semak samun, pemangkasan dahan pokok yang menghalang laluan.

“Turut dilaksanakan adalah tindakan penyingkiran dahan reput, serta pencucian jalan bagi memastikan persekitaran lebih bersih dan selamat untuk penduduk,” katanya.

Selain itu katanya, bagi memperkemas pengurusan sisa pepejal, DBKL turut mengarahkan supaya tong sampah sedia ada digantikan dengan tong yang lebih kukuh dan tahan gangguan haiwan.

Malah katanya, setiap rumah akan menerima tong individu bagi membolehkan kutipan dilakukan secara terus dari rumah ke rumah, sekali gus mengurangkan risiko sisa terdedah yang menjadi punca kehadiran haiwan liar.

“DBKL juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi menangani isu monyet liar yang berulang di kawasan ini.

“PERHILITAN juga sebelum ini sudah beberapa kali memasang perangkap di lokasi tumpuan seperti kawasan tong sampah, kediaman ketua-ketua kerajaan termasuk Istana Negara.

“Pemasangan perangkap baharu akan dilaksanakan segera dan pemantauan dipertingkatkan,” katanya.

Katanya, selaras dengan titah Sultan Ibrahim, DBKL turut melaksanakan kerja-kerja pemangkasan pokok dan penambahbaikan landskap di sepanjang laluan Jalan Gallagher bagi meningkatkan imej persekitaran dan menjamin keselamatan awam.

“DBKL menjunjung kasih kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas keprihatinan Tuanku.

“DBKL komited untuk memastikan kebersihan, kesejahteraan dan keselesaan warga kota sentiasa menjadi keutamaan melalui pemantauan yang berterusan dan tindakan segera bersama agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Semalam, Sultan Ibrahim berjalan sejauh 3.2 kilometer (km) melakukan tinjauan mengejut sekitar Jalan Gallagher bagi melihat tahap kebersihan persekitaran di situ.

Hasil tinjauan berkenaan, baginda antara lain menegur keadaan longkang yang tersumbat dan sampah yang dilihat dibuang di tepi jalan, selain dahan pokok di atas laluan yang tidak dialihkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top