PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan tindakan sitaan terhadap penjaja yang berniaga di Dataran Merdeka.
Ia susulan tular media sosial mengenai terdapat penjaja minuman beroperasi di kaki lima berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad pada waktu malam yang mencetuskan rasa kurang senang orang ramai.
DBKL dalam kenyataan berkata, kawasan tersebut merupakan kawasan larangan menjaja bagi memelihara imej, kebersihan serta nilai warisan lokasi berkenaan.
Katanya, penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi memastikan kawasan tumpuan pelancong dan warga kota tersebut kekal teratur serta bebas daripada aktiviti perniagaan tidak sah.
“Dataran Merdeka adalah simbol kebanggaan Kuala Lumpur dan negara. Ia perlu dipelihara daripada sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kebersihan, keselamatan serta keindahan persekitaran,” katanya.
Dalam pada itu, DBKL mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli barangan daripada penjaja haram dan bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan kawasan berkenaan.
Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya sentiasa berada dalam keadaan bersih, selamat dan sejahtera untuk dikunjungi. – UTUSAN




