DBKL-SRSB lancar Resindensi Kecapi, perkasa komuniti Sentul

DBKL-SRSB lancar Resindensi Kecapi, perkasa komuniti Sentul

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Sentul Raya Sdn Bhd (SRSB), anak syarikat YTL Land & Development Bhd melancarkan Residensi Kecapi dan pengumuman Program Pendidikan Bintang Cemerlang 2.0 bagi menyokong komuniti B40 serta memperkukuh pembangunan sosial bandar Kuala Lumpur.

SRSB dalam kenyataannya memaklumkan, projek perumahan itu menawarkan 250 unit rumah kos rendah pada harga RM42,000 seunit iaitu jauh lebih rendah daripada kos sebenar dengan subsidi sepenuhnya ditanggung oleh SRSB.

“Ia selari dengan Dasar Perumahan Negara dan menyokong matlamat kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat yang layak khususnya di kawasan bandar seperti Sentul.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada pelan induk pembaharuan bandar yang menyasarkan pemulihan kawasan bandar lama, peningkatan taraf hidup dan pembentukan komuniti mampan yang lebih seimbang,”katanya pada Sabtu.

Selari dengan itu katanya, SRSB turut memperkenalkan Program Bintang Cemerlang 2.0, kesinambungan kepada program pendidikan asal yang telah bermula pada 2008 dan berjaya memberikan impak kepada lebih 107,500 pelajar, guru dan ahli komuniti.

Residensi Kecapi mempunyai tiga bilik dengan harga RM42,000 kepada pembeli yang layak.

Residensi Kecapi mempunyai tiga bilik dengan harga RM42,000 kepada pembeli yang layak.

“Program ini yang pernah menerima tiga Anugerah Datuk Bandar Kuala Lumpur kini disasarkan kepada 23 sekolah rendah di Sentul, terutamanya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Bintang Cemerlang 2.0 menumpukan kepada pemulihan asas 3M (membaca, menulis dan mengira), di samping memperkasa pelajar dari segi kreativiti, sahsiah diri dan kesihatan fizikal.

“Modul khas untuk guru juga disediakan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembangunan pelajar,” katanya.

Mengulas lanjut, SRSB berkata, gabungan Residensi Kecapi dan Bintang Cemerlang 2.0 menggambarkan pendekatan menyeluruh dalam pembangunan komuniti yang menyediakan bukan hanya tempat tinggal, tetapi juga peluang pendidikan dan pembangunan diri.

“Ini membuktikan komitmen Kumpulan YTL terhadap pembangunan yang mampan dan berimpak tinggi kepada masyarakat,”katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang hadir merasmikan majlis pada Sabtu, menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu contoh terbaik kerjasama sektor awam dan swasta demi rakyat.

“Ini bukan sekadar membina rumah atau melancarkan program tetapi tentang mengembalikan maruah, membuka peluang dan membawa harapan.

“Akses kepada perumahan berkualiti, khususnya untuk keluarga berpendapatan rendah, adalah asas komuniti yang stabil dan bermaruah. Inilah semangat Malaysia Madani iaitu inklusif, penyayang, dan meletakkan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

Scroll to Top