am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Larangan terhadap warga asing menjalankan perniagaan di gerai dan pasar awam sekitar ibu kota masih diteruskan dengan tindakan penguatkuasaan yang tegas.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama beberapa agensi lain giat menjalankan operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti perniagaan haram dalam kalangan warga asing.
“Warga asing tidak dibenarkan mengendalikan atau membantu di gerai dan pasar awam di bawah bidang kuasa DBKL. Ini adalah dasar yang telah lama dikuatkuasakan.
“DBKL mempunyai kuasa untuk menyita barang jualan milik peniaga asing tanpa kebenaran, namun tindakan susulan seperti pengusiran dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Sebab itu kita laksanakan operasi secara bersama. Semua agensi ada peranan,” katanya.
Maimunah berkata, warga asing hanya dibenarkan bekerja di premis berlesen seperti restoran atau pusat beli-belah, namun tidak dibenarkan membuka gerai di zon penjaja awam.
“Tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan menerusi inisiatif KL Strike Force, yang menyasarkan penjaja warga asing tanpa lesen sah.
“Jika kita dapati warga asing mengendalikan gerai atau perniagaan makanan, kita akan ambil tindakan segera,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



