DBKL tutup lima pusat urut

DBKL tutup lima pusat urut

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup lima pusat urut dalam Tindakan Operasi Bersepadu Tebah (Premis Pusat Urut) di sekitar ibu kota, semalam.

DBKL dalam kenyataan berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Jalan Langkawi, Platinum Walk Danau Kota, di sini.

Menurutnya, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas enam premis perniagaan membabitkan pusat urut refleksologi, salon dan pusat kecantikan yang beroperasi tanpa lesen dan melanggar syarat-syarat lesen dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan, DBKL membuat penutupan serta merta ke atas lima pusat urut, mengeluarkan lima notis kompaun mengikut kesalahan beroperasi tanpa lesen dan menggajikan pekerja warga asing tanpa kelulusan.

“Selain itu, kami turut membuat lima tindakan sita dan pindah peralatan membabitkan modem wifi, kamera litar tertutup (CCTV), monitor, perakam video dan pelbagai peralatan lain,” katanya.

Kenyataan itu berkata, tindakan diambil menerusi kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top