DBKL tutup sebahagian Jalan TAR setiap Ahad

DBKL tutup sebahagian Jalan TAR setiap Ahad

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan semula penutupan sebahagian Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dari persimpangan Jalan Bunus 6 ke persimpangan Jalan Melayu pada setiap Ahad mulai minggu ini.

DBKL dalam kenyataan berkata, langkah penutupan jalan bertujuan memberi laluan bagi Program Santai Seni@TAR selain ia juga selari dengan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon.

Katanya, penutupan akan bermula dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam bagi sebarang jenis kenderaan.

“DBKL juga akan mengaktifkan laluan dua hala di Lorong TAR dari simpang Dang Wangi ke simpang Lorong TAR 7 pada setiap Ahad dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam selepas selesai acara Kuala Lumpur Car Free Morning,” katanya

Susulan itu, DBKL menasihati pengguna supaya memandu dengan berhati-hati, memperlahankan kenderaan dan mematuhi arahan petugas yang bertugas.

“Segala kesulitan amat dikesali,” katanya.

Pada 2022, DBKL pernah melaksanakan tindakan seumpama bagi menjadikan ibu kota salah satu lokasi bebas kenderaan dan mewujudkan kawasan pejalan kaki di tengah pusat bandar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top