PORTO: Bintang Manchester City, Kevin de Bruyne patah hidung dan cedera di matanya pada aksi final Liga Juara-Juara menentang Chelsea, awal pagi tadi.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada kecederaan itu akan menjejaskan peluangnya beraksi bersama Belgium untuk Kejohanan Euro 2020.
Pemain berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan terbabit selepas bertembung dengan pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger.
Kedua-dua pasukan dan penyokong tampak risau apabila De Bruyne tidak dapat bangun dan kelihatan tidak selesa.
Pasukan perubatan City terus meluru ke dalam padang dan Kyle Walker melutut di sebelah De Bruyne ketika dia menerima rawatan.
De Bruyne mengesahkan tahap kecederaannya menerusi Twitter apabila menciap ‘diagnosis saya ada kecederaan akut tulang hidup dan patah di bahagian orbital kiri. Saya rasa lebih baik sekarang.’
“Sangat kecewa dengan keputusan semalam tetapi kami akan bangkit.”
Nasib De Bruyne ke Kejuaraan Euro samar memandangkan saingan itu akan bermula dua minggu lagi dan aksi pertama Belgium menentang Russia pada 12 Jun.
Namun, pemain tengah itu masih boleh berlatih dan kekal cergas dengan memakai topeng muka bagi melindungi kecederaannya. -Agensi
© New Straits Times Press (M) Bhd